Halaman

18 October 2012

Projek Pembangunan Pekan Ajil rancak ekonomi

Pembangunan Pekan Ajil sedang rancak dibina.
Teks dan gambar oleh Mastura Jamaluddin 

Senario kesuraman aktiviti perniagaan komuniti setempat di Pekan Ajil hanyalah bersifat sementara kerana melalui Projek Pembangunan Pekan Ajil yang sedang dibina dan dijangka siap pada awal tahun 2014, bakal merancakkan ekonomi kawasan itu.

Ramai peniaga merungut aktiviti perniagaan mereka merosot hingga 40 peratus sejak Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) mula beroperasi akhir tahun lalu apabila jalan utama sebelum ini iaitu Jerangau- Jabor tidak lagi menjadi pilihan utama pengguna.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ajil, Dato’ Haji Rosol Wahid, pembinaan LPT adalah salah satu kemudahan daripada kerajaan untuk rakyat.

Beliau berkata, bagi mengembalikan kerancakkan ekonomi di Pekan Ajil, projek pembangunan pekan itu yang bernilai RM4 juta di atas keluasan tanah kira-kira 8.09 hektar sedang giat di jalankan.

“Projek pembangunan ini menyediakan pelbagai kemudahan termasuk bangunan lot kedai dua tingkat, medan selera, stesen teksi dan bas.

“Malah projek ini d jangka memberi peluang kepada lebih 50 penduduk setempat dan juga menarik kedatangan pelabur ke Pekan Ajil kelak.

“Ini merupakan mercu tanda baru dan tumpuan sebagai pusat sehenti dan saya amat berharap rakyat di Pekan Ajil dapat merebut peluang yang ada nanti,” kata beliau ketika di temui semalam selepas merasmikan Majlis Penyampaian Sumbangan Tabung Amanah Masyarakat Ketengah Tahun 2012 di Balai Raya Kampung Landas.