Halaman

09 October 2012

PPSPPA anjuran Larian Jom Kitar Semula

Oleh: Suriati Ali

Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam Negeri (PPSPPA) akan mengadakan Kejohanan Larian Jom! Kitar Semula dan Habitat 2012 bertempat di Dataran Teratai, Batu Burok, Kuala Terengganu pada 17 November depan.

Pengarah PPSPPA, Puan Fatimah Ahmad berkata, kejohanan yang diadakan serentak di seluruh negara merupakan acara julung kali diadakan di negeri ini.

Katanya, pendekatan itu mampu membudayakan amalan kitar semula di kalangan masyarakat setempat seterusnya mengamalkan amalan gaya hidup sihat rakyat di Terengganu.

Menurutnya, seramai 5,000 peserta dijangka akan mengambil bahagian melibatkan murid sekolah dan warga emas dengan 10 kategori dipertandingkan dengan jarak larian antara tiga hingga 10 kilometer.

“Sehingga kini, kita telah menerima lebih 1,119 borang penyertaan menerusi pendaftaran atas talian (online) dan juga kuanter di pejabat PPSPPA sendiri.

“Alhamdulilah penyertaan yang diterima amat mengalakkan dan kami yakin sasaran awal 5,000 penyertaan mampu direalisasikan menjelang kejohanan itu nanti,” katanya pada sidang media di pejabat PPSPPA di sini, semalam.

Dalam pada itu, Fatimah turut memberitahu bahawa selain Terengganu, lokasi lain bagi kejohanan larian itu turut diadakan di Johor, Kelantan, Pahang, Perlis, Wilayah Persekutuan, Melaka dan Negeri Sembilan.

Katanya, Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said dijangka akan melakukan majlis perlepasan pada jam 7.30 pagi dan penyampaian hadiah kepada pemenang.

"Mereka yang ingin mengambil bahagian dalam kejohanan ini hanya perlu menyerahkan borang pendaftaran beserta barangan kitar semula melibatkan surat khabar, botol minuman plastik, kotak minuman tetrapek atau tin minuman aluminium dengan had minimum 10 kuantiti salah satu daripadanya.

"Setiap peserta akan dibekalkan dengan sehelai baju-T, minuman dan sijil penyertaan, manakala hadiah wang tunai akan disediakan kepada pemenang tempat pertama hingga ketiga bagi setiap kategori,” katanya.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan selain hadiah wang tunai kepada pemenang,pihaknya turut menyediakan hadiah cabutan bertuah dengan hadiah utama sebuah motosikal sepanjang kejohanan itu berlangsung.

Justeru, orang ramai yang ingin mendapakan maklumat lanjut berhubung larian ini boleh menghubungi talian 09-6310034 bermula jam 8 pagi hingga 5 petang atau layari laman web www.ppsppa.gov.my.

Difahamkan Menteri Besar dan pengurusan tertinggi Kerajaan Negeri dijangka akan turut serta dalam kejohanan ini menerusi kategori VVIP melibatkan larian sejauh 3 kilometer.

Untuk rekod Terengganu merupakan negeri paling tinggi yang berjaya mencatatkan rekod jumlah kutipan barangan kitar semula dengan 240,041 kilogram bersamaan RM69,460 hasil kutipan dalam usaha mencapai sasaran 22 peratus kitar semula sisa pepejal menjelang 2020.