Halaman

07 October 2012

PM galak rakyat tanam pokok petai belalang

Petani menunjukkan buah petai belalang.

Oleh: Kamarudin Mat Akib
Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, mahu petani digalakkan supaya menanam pokok petai belalang atau nama saintifiknya 'Leucaena Leucocephala' kerana ia merupakan bahan mesra alam dan boleh memberi kesan baik kepada alam sekitar.

Beliau berkata, tanaman tersebut memberi pilihan kepada petani bagi meningkatkan pendapatan mereka serta mudah diurus kerana ia tidak memerlukan penggunaan tanah yang terbaik.

“Tanaman ini tidak memerlukan tanah kategori terbaik, tetapi ia boleh ditanam di tanah yang bukan dari jenis kategori terbaik,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Pecah Tanah Loji Bio-Metionina dan Tiokimia bersepadu di Taman Biopolimer Kertih, semalam.

Projek bernilai RM2 bilion yang terletak di kawasan seluas 70 hektar itu merupakan projek kerjasama antara CJ CheilJedang dari Korea dan platform tiokimia Arkema dari Perancis, bakal beroperasi pada Disember 2013.

Kemudahan bersepadu itu adalah yang pertama di dunia yang menggunakan proses penapisan dalam menghasilkan L-metionina, sejenis asid amino yang biasa digunakan dalam pembuatan makanan haiwan.

Biopenapisan mempunyai konsep yang serupa dengan loji penapisan petroleum yang menghasilkan pelbagai bahan api dan produk kimia daripada petroleum.

Biopenapisan menggunakan komponen daripada biojisim seperti 'Acacia Mangium' dan Petai Belalang serta produk-produk perantara yang berkaitan, sekali gus memaksimumkan nilai yang diperoleh daripada bahan mentah biojisim.

Perdana Menteri juga mahu tanaman itu diperluaskan ke seluruh negara bagi memenuhi permintaan industri bioteknologi.

Beliau berharap petani dari negeri-negeri lain dapat membekalkan hasil tanaman itu dengan harga yang baik bagi kegunaan industri berkenaan.

Baru-baru ini Kerajaan Terengganu memperuntukkan kawasan seluas 30,000 hektar untuk perladangan biojisim yang akan menghasilkan 10.5 juta tan metrik cip kayu setahun daripada pokok petai belalang.

Malah, Terengganu memulakan projek perladangan biojisim di kawasan seluas dua hektar di Hutan Simpan Merchang, Marang, bulan lepas.

Projek bio-metionina ini dijangka beroperasi pada Disember tahun depan.