Halaman

07 October 2012

Petai belalang-JPNT hantar permohonan rasmi kepada MTIB

Oleh; Esah Abdullah
Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA

Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu (JPNT) akan membuat permohonan rasmi supaya spesis petai belalang diterima sebagai spesis ladang hutan melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) kepada Malaysian Timber Industry Board (MTIB) dalam masa terdekat.

Anak pokok petai belalang.
Pengarahnya, Haji Azmi Nordin berkata, buat masa ini terdapat hanya tujuh spesis yang diiktiraf sebagai spesis ladang hutan iaitu Jati (tectona grandis), getah klon balak (hevea brasiliensis) , Khaya (khaya evorensis/khaya senegalensis), Kelempayan (neolamarckia cadamba), Sentang (azadirachta excelsa) dan Batai (paraserianthes falcataria).

“Pengiktirafan ini perlu bagi tujuan pensijilan dan bantuan pinjaman yang dikeluarkan oleh MTIB dan pensijilan penting bagi memastikan pengeluaran hasil hutan memenuhi standard alam sekitar, undang-undang dan peraturan tempatan,” katanya.

Katanya, kerajaan negeri telah menetapkan seluas 30,000 hektar kawasan diperlukan bagi tanaman ladang petai belalang untuk penghasilan biojisim dan kawasan dikenalpasti adalah di Hutan Simpan Kekal (HSK) Mercang, Sungai Nipah, Rasau Kerteh dan Bukit Bandi, Kemaman.


Menurutnya, beberapa perkara perlu diberi perhatian sebelum menubuhkan ladang hutan agar isu ini tidak diserang oleh badan bukan kerajaan di samping produk yang dihasilkan nanti dari kayu cip petai belalang dapat didagangkan.

Katanya, penubuhan ladang hutan hendaklah selaras dengan Pekeliling Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia Bl 01/2010 yang mana kawasan ladang hutan perlu dizonkan tidak melebihi lima peratus daripada jumlah keluasan hutan asli dalam HSK bagi tempoh tujuh tahun.

“Kalau mengikut perkiraan bagi negeri ini, tiga tahun pertama seluas 13,480 hektar dibenarkan, tahun kelima 8,088 hektar dan tahun ketujuh seluas 5,392 hektar dengan jumlah keseluruhan termasuk hutan simpan Mercang ialah 26,962 hektar,” katanya.

Selain itu, bagi hutan asli yang dizonkan di HSK Rasau Kerteh seluas 11,972 hektar, HSK Sungai Nipah seluas 24,593 hektar dan HSK Bukit Bandi Kemaman seluas 3,005 hektar dan hanya kawasan di bawah paras 500 meter di bawah paras laut dan kawasan hutan miskin disyorkan bagi penubuhan ladang hutan.

Bagaimanapun katanya, sebelum kawasan ini di tukar kepada ladang hutan, kajian perlu dijalankan bagi menilai kesesuaian tanaman petai belalang.