Halaman

14 October 2012

Pembabitan masyarakat beri nilai tambah acara ekopelancongan negeri

Oleh: Aida Abd Rahman

Pembabitan masyarakatan tempatan dalam program ekopelancongan seperti sukan air dan darat di negeri ini mampu memberi nilai tambah kepada sektor itu sekali gus membantu usaha promosi Tahun melawat Terengganu 2013 (TMT 2013).

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Abdul Rahin Mohd Said, berkata produk pelancongan akan gagal diketengahkan dan diperkenalkan kepada umum jika masyarakat setempat tidak turut sama mempromosi sebahagian gaya serta budaya hidup mereka itu sebagaimana dalam acara dalam sukan lasak `Cabaran Pulau Perhentian’ di Besut, Terengganu.

“Apabila masyarakat setempat tidak melibatkan diri dalam mempromosi gaya dan budaya hidup , ia seakan tiada nilai tambah kepada produk pelancongan seperti sukan air dan darat yang bakal disertai peserta luar negara,” katanya di Majlis Penyampaian Hadiah Kejohanan Cabaran Pulau Perhentian 2012, di pulau peranginan itu, hari ini.

Kerajaan negeri menerusi PIC Adventures Sdn Bhd mula menganjurkan program tahunan yang tersenarai dalam kalendar pelancongan Terengganu itu sejak 2004.

Kejohanan tiga hari bermula 12 Oktober lalu melibatkan beberapa kategori seperti elit lelaki dan wanita antarabangsa, elit lelaki dan wanita Malaysia, novis lelaki dan wanita Malaysia serta kategori kampung.

Manakala disiplin kategori elit ialah larian, berenang, pendakian, `coast orienteering’ dan `obstacle course’, manakala disiplin kategori novis melibatkan larian, berenang, `obstacle course’ dan `beach fun run’.

 Acara yang menawarkan hadiah keseluruhan RM65,000 menyaksikan penglibatan 357 peserta berumur 14 hingga 63 tahun dari Malaysia dan juga luar negara termasuk Singapura, Perancis, Turki, New Zealand, Kenya, Jerman, United Kingdom, Amerika Syarikat dan India.