Halaman

25 October 2012

Operasi bersepadu menjelang Aidiladha



Oleh: Mohammad Ishak

LIMA agensi  penguatkuasa mengadakan operasi bersepadu di Kampung Air sejuk, Setiu hari ini berjaya mengesan pelbagai kesalahan yang dilakukan pengguna jalanraya termasuk lima kes membabitkan penyalahgunaan dadah.

Operasi yang diadakan selama 4 jam itu disertai Jabatan pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Trafik, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) ,Bahagian Kawalan Filem, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KDNKK).

Penolong Pengarah Penguatkuasa JPJ Negeri, Hashim Borhan yang mengetuai operasi berkata lima kes penyalahgunaan dadah telah dikesan oleh anggota AADK apabila membuat saringan urin terhadap 60 pengguna jalanraya dalam operasi berkenaan.

Katanya, mereka membabitkan pemandu kereta dan menunggang motosikal yang apabila disaring didapati positif Methempetamine (pil kuda) dan tindakan lanjut telah diambil oleh AADK terhadap mereka.

 “ Selain itu pihak polis juga telah mengeluarkan 40 saman terhadap pemilik kenderaan yang didapati telah mengubah rekabentuk kenderaan mereka disamping menggunakan nombor pendaftaran yang tidak mematuhi peraturan”, katanya kepada media selepas mengadakan operasi di lokasi pemeriksaan.

Menurut Hashim secara keseluruhannya sebanyak 215 buah kenderaan telah diperiksa dalam operasi itu dan darnya JPJ juga telah mengeluarkan 39 notis saman membabitkan pelbagai kesalahan terutamanya memandu tanpa lessen dan penggunaan cukai jalan yang telah tamat tempoh.

Katanya, operasi bersepadu itu juga turut memberikan tumpuan kepada kenderaan perdagangan dan pengangkutan awam seperti bas awam, bas ekspress dan bas pelancong.

 “ Enam buah pengangkutan perdagangan turut diberikan notis kerana membawa muatan melebihi had membabitkan lori membawa besi dan lori perabot. Kesemua kesalahan akan dirujukkan kepada Suruhanjaya Pengangkutan Awam (SPAD)”, katanya.

Beliau berkata, dalam Operasi Khas Motosikal yang diadakan di empat lokasi di seluruh diseluruh negeri pada 20 Oktober lalu , JPJ telah mengesan dan mengeluarkan notis saman kepada 200 penunggang motosikal.

 Katanya, pihaknya memberikan tumpuan khas kepada penunggang motosikal kerana mereka merupakan penyumbang tertinggi kes kemalangan maut setakat ini di Terengganu