Halaman

18 October 2012

Melestari pembudayaan tulisan jawi

Ketua Pengarah Perpustakaan Negara, Dato' Reslin Abu Bakar (dua dari kanan) melawat gerai pameran selepas merasmikan  Karnival Semarak Jawi Kebangsaan 2012 di Pusat Dagangan Terengganu.
Oleh; Esah Abdullah

Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) telah melaksanakan 102 program dan aktiviti di samping lima penerbitan bertunjangkan tulisan jawi bagi menyemarak dan melestari pembudayaan tulisan jawi di negara ini.

 Ketua Setiusaha KPKK, Dato’ Sri Kamaruddin Siaraf berkata, pelaksanaan program ini bukan setakat memertabatkan penggunaan tulisan jawi sebagai tulisan warisan bangsa malah bertujuan memantapkan pelestarian tulisan ini dalam jati diri bangsa Melayu.


Katanya penerbitan yang dicetak dan diedarkan kepada masyarakat ialah buku tatih jawi, majalah semarak jawi, perisian k-jawi dan akhbar jawi Utusan Melayu di samping program lain seperti persidangan, bengkel klinik dan pameran tulisan serta aktiviti berskala kecil iaitu menulis esei, pantun jawi dan pertandingan mewarna jawi.

 “Program pembudayaan bukan saja tertumpu kepada karnival semata-mata sebaliknya turut melaksanakan pelbagai aktiviti yang bersesuaian untuk semua peringat umur dan bangsa,” katanya ketika merasmikan Karnival Semarak Jawi Kebangsaan 2012 di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) Kuala Terengganu hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), Dato’ Raslin Abu Bakar.

Turut hadir Pengarah Audit Dalam Pejabat Setiausaha Kerajaan, Haji Wan Mohd Zaki Wan Abdullah; Pengarah Radio Jabatan Penyiaran Malaysia, Haji Mohamad Mat Yasin dan Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT), Hajah Nor Akmal Abdul Fatah.


Katanya, negeri Terengganu merupakan negeri pertama tahun ini yang dipilih bagi zon Pantai Timur untuk menjayakan program ini dan julung kalinya dianjurkan oleh PNM dan PPAT dan berlangsung selama tiga hari bermula hari ini membabitkan penyertaan 70 gerai jualan dan pameran.

 “Kita harap program ini dapat melahirkan masyarakat ‘melting pot’ yang berkongsi kebudayaan sama kerana tulisan jawi bukan sahaja milik jiwa Melayu malah terdapat bangsa lain seperti Cina, India dan bangsa asing yang begitu menjiwai tulisan ini,” katanya.

Selain itu katanya, program ini berperanan memupuk kecintaan serta melahirkan generasi yang berkaliber di dalam menguasai peranan membaca dan menulis jawi sepanjang hayat.

Beliau seterusnya mengharapkan penglibatan agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan, institusi pengajian awam dan swasta serta pengiat tulisan jawi melestarikan penggunaan tulisan ini dengan mengadakan aktiviti di premis masing-masing.

Pada majlis itu, empat orang pengiat jawi dan khat menerima sijil penghargaan masing-masing iaitu Haji Hamdan A.Rahman, 73 dari Batu Pahat Johor; Nik Muhammad Nik Abdul Kadir,30 dari Kelantan; Encik Gan Awang @ Abdullah Baliseh dan Haji Mohammed Yusof Abu Bakar.