Halaman

07 October 2012

MBKT bawa pulang wang tunai RM20,000

Oleh: Suriati Ali
Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA

Datuk Bandar,  Dato' Adzlan Mohd Dagang menerima hadiah kemenangan yang disampaikan Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said.

Bijak mempamerkan keceriaan dan konsep `Bandaraya Persisir Air’ pada bot penambang memberi kelebihan kepada Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) apabila dinobatkan sebagai juara bagi Pertandingan Citra Bot Berhias, di Dataran Syahbandar, Kuala Terengganu, malam tadi.

Bot berhias MBKT yang turut menekankan beberapa keunikan lain, termasuk logo Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013, layar `Moosun Cup’, kubah Masjid Kristal, podium Wisma Darul Iman, songket dan batik layak membawa pulang wang tunai RM20,000.

Manakala naib johan pertandingan sempena sambutan ulangtahun yang ke-50 hari Keputeraan Sultan Terengganu itu, Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) dengan pulangan wang tunai RM15,000.

Bot berhias MBKT
Tempat ketiga pula disandang, Pejabat Daerah Kemaman, layak memperoleh RM10,000; tempat keempat Pejabat Daerah Setiu dan kelima (Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), masing-masing membawa pulang RM5,000.

Sebanyak 13 bot berhias millik jabatan kerajaan dan swasta lain seperti Jabatan Laut Terengganu, Taman Tamadun Islam, Koperasi Warisan Seberang Takir Terengganu Berhad, Pejabat Daerah Terengganu turut menampilkan pelbagai kreativiti menarik walaupun tidak memenangi sebarang hadiah.

Majlis yang dirasmikan Menteri Besar, Dato' Seri  Haji Ahmad Said itu dikunjungi lebih 5,000 penduduk.


Hadir sama isteri Menteri Besar, To' Puan Seri Hajah Norliza Mahmud; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Haji Mazlan Ngah;  Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri, YB Dato' Haji Rahin Mohd Said dan beberapa barisan exco lain.


Pada malam berkenaan turut diadakan pertunjukan bunga api, tarian tradisional serta cabutan bertuah dan paling menarik pelancong asing akan diarak dengan menaiki beca berhias yang disediakan ke tapak program.

Datuk Bandar MBKT, Dato' Adzlan Mohd Dagang, berkata sokongan padu semua pihak dan kerjasama 20 kakitangan antara petua bot berhias milik MBKT mampu memikat hati juri pertandingan.

“Kakitangan terlibat mengambil masa hanya empat hari dengan membelanjakan hampir RM20,000 bagi menyiapkan konsep yang diinginkan penganjur,” katanya kepada pemberita selepas menerima hadiah kemenangan.