Halaman

09 October 2012

Kerajaan negeri komited urusan haji

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Kerajaan negeri sentiasa memberikan sokongan dan komited berkaitan urusan mengendalikan bakal jemaah haji bagi memastikan mereka berangkat ke Tanah Suci dalam keadaan selesa dan teratur.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata dengan kecaknaan kerajaan negeri dalam urusan tersebut bukan saja bukan saja memberi manfaat kepada jemaah haji dari Terengganu, tetapi ia juga turut meliputi jemaah dari negeri lain yang menggunakan Lapangan Terbang Sultan Mahmud bagi penerbangan terus ke Jeddah atau Madinah.

Beliau berkata, tahun ini merupakan tahun ke-5 bakal haji menggunakan lapangan terbang itu bagi penerbangan terus ke Tanah Suci di mana seramai 11,000 orang telah menggunakan perkhidmatan yang disediakan.

“Saya difahamkan seramai 20 peratus jemaah haji yang berlepas ke Tanah Suci pada tahun ini melalui penerbangan dari Terengganu adalah jemaah dari Pahang dan Kelantan manakala lapan peratus dari negeri-negeri lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Penyempurnaan Pelepasan Jemaah Haji Ke Tanah Suci Musim Haji 1433H/2012 di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, pagi ini.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah berkenan berangkat pada majlis berkenaan.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan dan ketua-ketua jabatan.

Pada penerbangan kali ini seramai 446 jemaah haji menggunakan penerbangan terus di mana pesawat yang membawa mereka akan mendarat di Jeddah dan jemaah akan dibawa ke Mekah untuk mengerjakan haji.

Menteri Besar berharap jemaah haji mengekalkan rekod terbaik Lembaga Tabung Haji dan menjaga nama baik negara sebagai sebuah negara Islam yang disegani.

Beliau meminta mereka sentiasa mematuhi arahan-arahan dan panduan keselamatan yang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi dan Tabung Haji sepanjang masa berada di Tanah Suci.