Halaman

18 October 2012

JPNT anjur pertandingan fotografi

Oleh: Noraini Jusoh 

Jabatan Penerangan Negeri Terengganu (JPNT) menganjurkan Pertandingan Fotografi Merdeka 2012 sempena bulan kemerdekaan, baru-baru ini.

Penolong Pengarahnya, Encik Iskandar Jaafar berkata, pertandingan yang julung kali diadakan dan terbuka kepada seluruh rakyat Terengganu itu telah mendapat sambutan menggalakkan walaupun tempoh penyertaan dibuka hanya lima hari sahaja.

YB Haji Khazan Che Mat bersama pemenang Pertandingan Fotografi Merdeka 2012.
“Pertandingan fotografi bertemakan kemerdekaan itu berlangsung 7 September sehingga 12 September yang lalu dan menerima 25 penyertaan dari orang ramai.

“Pemenang dipilih berdasarkan kreativiti menghasilkan gambar paling menarik yang mengandungi jalur gemilang sebagai syarat utama dan memenuhi kriteria lain yang telah ditetapkan,” ujarnya ketika berucap di Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Fotografi peringkat negeri di Hotel YT Midtown, semalam.


Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, YB Haji Khazan Che Mat telah menyempurnakan majlis penyampaian hadiah sempena pertandingan tersebut.

Pertandingan yang turut mendapat sejumlah peruntukan daripada kerajaan negeri itu dimenangi Saudara Md.Yasin Embong, 39, berasal dari Manir yang berjaya membawa pulang wang tunai RM1,000 beserta sijil penghargaan.

Tempat kedua dimenangi oleh Wan Fadli Wan Arip, 36, juga dari Manir menerima RM800 dan sijil penghargaan.


Abdullah Deen Mohd Zain, 37, dari Taman Perumahan Gong Badak pula menduduki tempat ketiga dengan membawa pulang RM600 beserta sijil penghargaan.

Manakala lima orang pemenang saguhati iaitu Isthyad Ahmed, 57, Mohd Radzi Abdul Kadir,45, Afsal Abdullah,30, Hasnordin Md.Nor, 41, dan Nur Anisah Arjasneh,13, telah menerima RM200 dan sijil penghargaan setiap seorang.