Halaman

15 October 2012

Jentera Umno perlu digerak dengan lancar

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Jentera Umno di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tunggal diiingatkan supaya bergerak dengan lancar dan mengelakkan daripada berpuak-puak, bagi memastikan DUN berkenaan dirampas semula daripada pembangkang.

Pegawai Pembangunan DUN Bukit Tunggal, Haji Ismail Nik, berkata BN mempunyai harapan cerah untuk menang kerusi tersebut pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13) jika semua pihak bersatu dan menyokong calon yang ditampilkan oleh pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN).

“Kita pernah menang di DUN Bukit Tunggal dan tidak mustahil kita boleh menang lagi jika jentera pilihan raya kita bekerja dengan bersungguh-sungguh bagi memenangkan calon BN,” katanya ketika berucap pada Majlis Komunikasi Patriotik anjuran Unit Komunikasi Negeri di Hotel Tanjong Vista, malam tadi.

Kira-kira 170 orang terdiri daripada jentera pilihan raya dan perayu undi DUN Bukit Tunggal hadir pada majlis berkenaan.

Haji Ismail berkata, masa sudah suntuk bagi pemimpin dan ahli Umno DUN berkenaan untuk membuat persiapan yang sepatutnya bagi menghadapi PRU 13 kerana pilihan raya boleh diadakan pada bila-bila masa.

“Kita sudah tidak ada masa lagi untuk berbalah sesama sendiri dan memikirkan soal calon. Buat masa ini kita semua perlu bekerja keras untuk mengemaskan jentera dan bersatu padu bagi menghadapi serangan daripada parti lawan,” katanya.

Beliau turut meminta mereka supaya menghentikan perbuatan fitnah memfitnah sesama sendiri kerana perbuatan itu melemahkan jentera parti.

“Marilah kita sama-sama memikul tanggungjawab untuk memenangkan calon BN bagi kawasan DUN Bukit Tunggal pada pilihan raya akan datang,” ujar beliau.