Halaman

25 October 2012

Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Terengganu salur RM2 juta kepada KRT



Oleh: Mohammad Ishak

Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Negeri Terengganu menyalurkan RM2 juta kepada Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di seluruh negeri ini bagi menjalankan pelbagai aktiviti kemasyarakatan sepanjang tahun ini.

Pengarahnya, Tukimin Sarlan berkata, pengagihan menerusi geran pentadbiran itu membolehkan 371 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) yang ditubuhkan oleh jabatan itu dapat meenggerakkan ahli menyertai aktiviti yang dianjurkan oleh pertubuhan itu.

Katanya, ketika ini terdapat lebih 7,000 ahli KRT dan komuniti setempat mendapat manfaat daripada penubuhan KRT yang sentiasa bergiat aktif menjalankan aktiviti di kawasan masing-masing.

Bagaimanapun,katanya daripada jumlah itu masih ada 25 peratus daripada KRT yang ditubuhkan tidak bergerak aktif menjalankan aktiviti yang sepatutnya dilaksanakan oleh KRT terbabit.

“Pihak JPNIN sedang memantau KRT yang didapati tidak aktif supaya jawatankuasa dapat menggerakkan semula kerana tiada pihak jabatan sentiasa menyalurkan peruntukkan untuk menjalankan aktiviti,” katanya pada majlis Sambutan Perhimpunan Pemimpin Rukun Tetangga Peringkat Negeri Terengganu.

Majlis yang berlangsung di Dewan Besar Politiknik Sultan Mizan,Dungun itu dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri, Dato’ Zaa’ba Mohd Adib.

Pada majlis itu kira-kira 1,000 pemimpin dan ahli jawatankuasa KRT dari seluruh negeri ini menghadiri perhimpunan berkenaan.

Pada majlis sama Zaa’ba turut menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan Kempen Kibar Jalur Gemilang, sempena sambutan bulan kemerdekaan negara tahun ini.