Halaman

08 October 2012

IKBN Kemasik perkenal jenama Youth Port

Oleh: Suriati Ali

Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kemasik Kemaman akan menggunakan jenama ‘Youth Port’ bagi memasarkan produk keluaran institut itu kepada golongan muda di negara ini.

Pengarahnya Encik Mohd Zaki Mahmud berkata, buat permulaan, pihaknya akan memasarkan produk bakeri, pastri dan salun di tiga kios milik IKBN Kemasik yang dibina bersebelahan IKBN Kemasik

“Kita buat kios berharga kira-kira RM490,000 itu seumpama konsep R&R (Rawat dan Rehat) dengan menyediakan kemudahan surau, bilik air serta mesin ATM.

“Kios yang terletak di laluan utama Jalan Kuala Terengganu-Kuantan itu kita yakin ia akan mendapat sambutan baik daripada pengguna laluan berkenaan,” katanya kepada pemberita di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata, perniagaan yang dijalankan itu adalah di bawah kelolaan Koperasi Kakitangan IKBN Kemasik Kemaman Berhad dengan jumlah keahlian 50 orang terdiri daripada pelajar dan kakitangan.

“IKBN Kemasik merupakan IKBN yang pertama mengadakan kios dengan menjual produk yang dibuat oleh pelajar sendiri.

 “Hasil jualan berkenaan akan dimasukkan ke dalam tabung koperasi sebagai pusingan modal dan juga bayaran kepada pelajar,” katanya. Menurutnya, langkah itu secara tidak langsung dapat membantu pelajar dalam bidang keusahawanan apabila keluar dari IKBN nanti.

 “Jika sudah ada ilmu dan pengalaman berniaga, mudah untuk mereka mencari ruang dan pasaran dalam bidang perniagaan. “Bagi tempoh jangka panjang, IKBN Kemasik akan memasarkan produk jenama Youth Port ke pasaran luar yang lebih luas dan terbuka,”katanya.