Halaman

16 October 2012

DBP perkenal Program Audit Bahasa

Oleh: Suriati Ali

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengambil langkah positif dengan memperkenalkan Program Audit Bahasa demi memastikan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan terus dimartabatkan di sektor awam.

Tiga perkara utama yang akan diaudit adalah dokumen-dokumen rasmi, komunikasi lisan dan paparan. Manakala aspek pengauditan tertumpu kepada taraf dan mutu bahasa Melayu.

Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera Dewan Bahasa dan Pustaka, Encik Rusli Abd Ghani, berkata menerusi program yang diperkenalkan itu, semua dokumen di jabatan dan agensi kerajaan akan mua diaudit menjelang 2013.

Katanya, pada masa sama, kerajaan akan mewujudkan sistem Penarafan Bintang Bahasa Kebangsaan bagi menghargai usaha Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) memartabatkan penggunaan bahasa kebangsaan di tempat awam.

 “Pemerkasaan bahasa Melayu pada peringkat antarabangsa melalui program pengantarabangsaan bahasa Melayu juga diusahakan secara konsisten dan sistematik.

 “Sehubungan itu, DBP menerusi kerjasama pihak tertentu bertanggungjawab menyelaraskan kegiatan pengembangan bahasa dan persuratan Melayu di luar negara.

 “Usaha itu bakal meletakkan bahasa Melayu sebagai salah sebuah bahasa yang terpenting di dunia,” katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2012, di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, semalam.

 Hadir sama, Pengerusi Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, YB Dato’ Haji Rahin Mohd Said; Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Dato' Haji Wan Ahamad Wan Muda; Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, Encik Rusli Abdul Ghani dan beberapa pegawai kanan kerajaan.

Kira-kira 1,000 peserta hadir pada majlis yang turut diserikan dengan persembahan koir, deklamasi puisi dan sketsa.

Encik Rusli turut memberitahu, Potensi besar bahasa Melayu pada peringkat antarabangsa juga ditandai dengan kewujudan 100 pusat bahasa Melayu/Indonesia.