Halaman

04 October 2012

Beri peluang kepada ketua bahagian

Oleh: Aida Abd Rahman

Ketua-ketua Umno Bahagian di Terengganu harus diberi peluang menjadi calon Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) memandangkan khidmat dan pengalaman mereka dalam pucuk pimpinan parti.

Pengarah Strategik Badan Perhubungan Umno negeri, Dato’ Rosli Mat Hassan, berkata lapan ketua Umno Bahagian Terengganu menjadi `komander’ di setiap kawasan meliputi empat Dewan Undangan Negeri masing-masing sejak PRU11 dan PRU12 lalu.

“Pandangan saya, kita berharap ketua Umno lapan bahagian ini wajar mendapat ruang dan diberi peluang dicalonkan semula pada PRU13 nanti. Kita tahu dari awal lagi PRU 2004, PRU 2008 mereka yang sama sebenarnya menjadi komander di kawasan (masing-masing).

 “Masing-masing memiliki pengalaman dan mereka pun bukan tua sangat yang mengetuai setiap bahagian dalam Terengganu ini. Jadi, mereka wajar mendapat tempat dicalonkan semula,” katanya kepada Teganukita, baru-baru ini.

Malah, Dato’ Rosli yang juga Ketua Umno Bahagian Dungun juga bersedia menjadi calon jika beliau tersenarai menjadi pilihan pucuk pimpinan bagi mempertahankan mana-mana kerusi Barisan Nasional (BN) pada PRU nanti.

 “Saya memang bersedia dari dulu untuk menjadi calon dan memimpin parti. Saya tiada apa-apa masalah kerana dari dulu lagi saya memang berkhidmat dan taat setia kepada kepimpinan BN serta Umno.

“Maknanya, dalam bahasa kampung, `nak kata nak sangat ( jadi calon) tidak jugak, nak kata tidak mahu, tidak jugak,” jelas beliau lagi.

 Selain itu, beliau juga sedia maklum senario serta pencapaian pemimpin politik di Terengganu berikutan itu sudah menjadi satu daripada peranannya mengetuai kerja-kerja memantapkan parti peringkat negeri.

Katanya, pucuk pimpinan negara serta negeri sememangnya memberi perhatian utama dan cukup serius kepada Bahagian Kuala Terengganu dan Marang berikutan kawasan itu menjadi kubu kuat pembangkang.

“Dua kawasan Marang dan Kuala Terengganu kawasan kritikal dari segi Parlimen dan beberapa DUNnya..Pun begitu, kalau kena cara, dua-dua (Parlimen) ini kita mampu menang. Dua kawasan ini bukan `hitam’, bagi saya ini kawasan `kelabu’ sahaja bagi kita,” katanya.

 Katanya, pihaknya sudah mengetahui aliran pengundi di kawasan berkenaan dan pelbagai langkah sudah diambil pucuk pimpinan parti sehingga ke akar umbi bagi menggempur dua kawasan yang dikatakan kelabu ini supaya boleh berubah menjadi `putih’.

 Selain mengutamakan calon pilihan rakyat, calon yang mempunyai kredibiliti dan hebat harus diketengahkan seperti ulama dn juga pegawai pentadbir.

 Beliau juga membayangkan akan berlaku kejutan di Marang dan Kuala Terengganu berkenaan calon dan juga keputusan PRU13 nanti berdasarkan kemantapan jentera parti bekerja dan saling komited mencapai sasaran mereka.