Halaman

12 September 2012

YIT bakal tempatkan PDI di kompleks bernilai RM20 juta

Oleh: Aida Abd Rahman
Yayasan Islam Terengganu (YIT) bakal menempatkan pusat pengajian sistem pondok moden dikenali sebagai Pondok Darul Iman (PDI) di kompleks bernilai RM20 juta yang bakal dibina penghujung tahun ini.

Pengarah YIT, Haji Md Kamarul Al-Amin Ismail, berkata PDI yang diwujudkan tiga tahun lepas dijangka akan beroperasi di kompleks itu sebaik kerja pembinaannya selesai pada 2014.

"Pembinaan kompleks setinggi empat tingkat itu akan mengandungi kemudahan seperti bilik darjah, dewan, rumah guru, asrama pelajar dan kemudahan asas yang lain.

"Bangunan ini akan dibina secara berperingkat dengan peringkat pertama bangunan asrama bermula akhir tahun ini dengan kos RM5 juta," katanya.

Haji Md Kamarul berkata permintaan masyarakat yang amat menggalakkan menyebabkan PDI memerlukan ruang pengajian yang lebih luas bagi menampung pertambahan pelajar kelak.
Sehingga kini, PDI mempunyai kira-kira 200 pelajar.

Beliau berkata bermula tahun depan, PDI akan memperluaskan skop pembelajaran sehingga ke Tingkatan Lima berbanding hanya setakat Tingkatan Tiga sekarang.

"Kita juga akan mula menerima kemasukan pelajar-pelajar wanita tahun depan," katanya.

Sementara itu, beliau berkata YIT akan mengadakan kerjasama dengan Institut Agama Islam Negeri Medan, Sumatera Utara, Indonesia tahun depan bagi membolehkan penuntut lulusan YIT melanjutkan pengajian di sana.

Katanya YIT merancang untuk menghantar antara 15 dan 20 pelajar dalam bidang Pengajian Islam di institut itu tahun depan