Halaman

19 September 2012

UniSZA catat 1,115 kakitangan Terengganu

Oleh: Suriati Ali dan Nur Syarifatul Zahidah bt Mukhtar (Pelatih)

Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) mencatatkan seramai 1,115 kakitangan adalah rakyat Terengganu daripada 1,481 jumlah keseluruhan kakitangan yang berkhidmat universiti itu.

Jumlah itu meningkat berbanding di awal penubuhan Universiti Darul Iman (UDM) pada 2006 iaitu seramai 573 (kakitangan Terengganu) daripada 660 keseluruhan kakitangan.
Perangkaan itu menunjukkan sikap prihatin kerajaan negeri dan pentadbiran Unisza yang mahu rakyat Terengganu menabur budi dan bakti di negeri sendiri.

Naib Canselornya, Prof. Dato’ Dr. Alias Daud berkata Unisza kini mempunyai 6,774 penuntut termasuk 1,200 pelajar ijazah yang baru mendaftar masuk baru-baru ini.

Katanya, daripada jumlah itu, pelajar Terengganu merupakan kumpulan terbesar iaitu 1,474 atau 22 peratus daripada bilangan keseluruhan pelajar.

“Pihaknya menerima peningkatan pelajar pada setiap tahun yang sememangnya memberi cabaran terutama berkaitan kemudahan pembelajaran dan penginapan.

“Statistik semasa menunjukkan bahawa UniSZA hanya mampu menyediakan kapasiti penginapan 5000 bilik berbanding jumlah pelajarnya iaitu 6774.,” katanya.
Katanya, selebihnya, mereka terpaksa menyewa rumah atau bilik di luar kampus di sekitar kawasan Gong Badak.

“Buat masa sekarang UniSZA sedang berusaha untuk mengurangkan masalah ini dengan menambah kapasiti asrama yang sedia ada.

“Kita juga berharap akan dapat bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk Kerajaan Terengganu untuk menambahkan lagi kemudahan tempat tinggal pelajar”.

Katanya, tidak hanya berkembang daripada segi jumlah pelajar, malah UniSZA turut berkembang dari segi pembangunan fizikal di ketiga-tiga kampus iaitu Kampus Gong Badak, Kampus Kota dan juga Kampus Besut.

“Sehingga kini, UniSZA telah membelanjakan lebih RM400 juta untuk tujuan penyelenggaraan, menaik taraf dan pembangunan di ketiga-tiga kampus tersebut dan turut mengalami perkembangan pesat pembangunan,” katanya.