Halaman

24 September 2012

UMNO DAN JKKK IBARAT ISI DAN KUKU

JKKK dalam Parlimen Hulu Terengganu menerima bantuan siaraya.

Oleh: Mastura Jamaluddin
Gambar oleh MASTURA JAMALUDDIN

Sebanyak 144 buah JKKK dalam Parlimen Hulu Terengganu menerima bantuan siaraya yang disumbangkan oleh Ahli Parlimen Hulu Terengganu,YB Haji Mohd Nor Othman.

Majlis tersebut turut menyumbangkan bantuan pentadbiran sebanyak RM1000 kepada 10 buah Kelab Rukun Tetangga (KRT) bagi menjalankan pelbagai aktiviti di kawasan masing-masing.

YB Haji Rozi Mamat selaku Exco Belia dan Sukan Kerajaan Negeri Terengganu telah merasmikan Majlis Penyerahan Alat Siaraya, Komputer Riba dan Cek Pengurusan KRT Parlimen Hulu Terengganu di Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu.


Beliau mengharapkan kesemua penerima bantuan terutama JKKK bersyukur di atas sumbangan kerajaan dan menggunakannya sebaik mungkin terutama menghadapi pilihan raya umum ke 13 nanti.

Beliau juga berhasrat untuk membuat transformasi terhadap rakyat Hulu Terengganu dan menyatakan bahawa UMNO sentiasa mempertahankan serta memperjuangkan hak rakyat dalam pelbagai bentuk bantuan yang di salurkan.

“UMNO dan JKKK ibarat isi dengan kuku,ianya tidak boleh di pisahkan dalam memperjuangkan survival orang Melayu.

“Kedua-duanya saling memerlukan terutama untuk menghadapi pilihan raya kerana PRU 13 nanti amat penting, ianya menentukan arah tuju rakyat di Malaysia yang melibatkan maruah bangsa, agama dan negara.

“Saya amat berharap pada PRU 13 ini, kita akan kekalkan kemenangan besar di DUN Telemong dan Ajil, kekalkan menang di DUN Kuala Berang serta rampas kembali DUN Manir daripada tangan pembangkang,” katanya sewaktu perasmian.

YB Rozi turut memohon kepada semua ahli UMNO yang belum mendaftar sebagai pengundi melakukannya dengan segera bagi memastikan kemenangan adalah milik Barisan Nasional.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Ahli Parlimen Hulu Terengganu,YB Hj Mohd Nor bin Othman; Ketua Wanita UMNO Bahagian Hulu Terengganu,Datuk Hajjah Fatimah Hamat dan Setiausaha Eksekutif UMNO Bahagian Hulu Terengganu,YM Tuan Razilah Said Mohd.