Halaman

25 September 2012

Taman panorama dibuka tahun depan sempena TMT

Oleh; Esah Abdullah

Taman Panorama di Bukit Pak Apil Kuala Terengganu akan dibuka sepenuhnya tahun depan sempena Tahun Melawat Terengganu (TMT).

Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Dato’ Haji Adzlan Mohd Dagang berkata, pihaknya kini sedang meneliti kemampuan beberapa syarikat yang memohon tender bagi mengurus kemudahan di taman berkenaan.

“Kita ingin melihat dulu apa kemudahan yang boleh ditawarkan bagi lokasi pelancongan terbaru daerah Kuala Terengganu itu,” katanya.

Menurutnya, kewibawaan dan keupayaan syarikat pengendali adalah diutamakan memandangkan taman ini bakal menjadi daya tarikan kedatangan pelancong ke negeri ini.

 “Kelebihan utama Taman Panorama ialah pengunjung boleh melihat sebagaian besar bandar Kuala Terengganu sepertimana KL Tower dan tarikan lain seperti Taman Orkid dan kemudahan rekreasi lain,” katanya.

Katanya, pihaknya bercadang menyerahkan pengurusan keseluruhan lokasi yang dilengkapi kemudahan dan prasarana moden termasuk pusat rekreasi, laluan penjalan kaki, pondok rehat, dan menara tinjau kepada syarikat pengendali yang terpilih.

Pembangunan fasa pertama taman berkenaan membabitkan peruntukan RM7.5 juta dilaksanakan Kementerian Pelancongan dan Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan .

Antara kemudahan yang turut ditawarkan di situ ialah sebuah kafe yang mampu menampung 200 pengunjung pada satu-satu masa.