Halaman

18 September 2012

Syed Ubaidillah dedikasi karya khat terbaik untuk TTI

Oleh: Aida Abd Rahman

Impian mengabadikan karya terbaik dan bermutu di galeri Taman Tamadun Islam (TTI) untuk tatapan umum sebagai hadiah kepada penganjur yang memberi peluang kepadanya mengembangkan bakat dan kreativiti tercapai apabila dinobatkan sebagai johan bagi kategori siap logam sempena pertandingan seni khat Festival Kesenian Islam Antarabangsa Terengganu (TIIAF) 2012 , di TTI, yang berakhir semalam (17 September).

Syed Ubaidillah Syed Mohamad, 40, (gambar) dari Kampung Tok Ku Chabang Tiga, Kuala Terengganu, membawa pulang RM5,000 beserta sijil penyertaan selain dinobatkan juara keseluruhan untuk meraih piala pusingan dikenali sebagai Piala Mandalika.


Syed Ubaidillah Syed Mohamad dinobatkan sebagai johan bagi kategori siap logam sempena pertandingan seni khat Festival Kesenian Islam Antarabangsa Terengganu (TIIAF) 2012

Hadiah kemenangan disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Abdul Rahin Mohd Said yang mewakili Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

Menurut Syed Ubaidillah, dia hanya mengambil masa seminggu sahaja untuk menyusun struktur ayat dan tulisan khatnya serta teknik pengubahsuaian gambar berbanding tempoh kira-kira dua bulan untuk menyiapkan seni bunga-bungaan dan dedaun yang melingkari tulisan khat berkenaan.

“Walaupun menempuhi cabaran agak hebat untuk menyiapkan karya kali ini, di mana karya tahun lalu hanya mengambil masa tiga minggu, saya tetap berasa puas kerana hasil seni dan kreativiti saya diiktiraf.

“Tiada hadiah paling bernilai kepada TTI yang mampu saya berikan, jadi saya berusaha menghasilkan karya ini sebagai hak milik TTI selaku penganjur program kesenian ini yang mana selepas ini ia boleh ditatap oleh orang ramai yang mencintai kesenian tulisan jawi,” katanya.

Syed Ubaidillah yang mendapat sokongan penuh isteri, Engku Zalina Engku Hussin 42, meminati seni khat pada logam berbanding kategori kanvas dan kayu, kerana pelbagai elemen yang mampu dicipta serta diubahsuai menggunakan idea baru dan spontan menerusi bahan yang tidak bernilai seperti besi dan paku.

Dia yang turut menyertai Persatuan Khat Kuala Terengganu bertindak sebagai tenaga pengajar seni berkenaan kepada pelajar dan juga kakitangan kerajaan di pelbagai agensi seperti Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu dan Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu.

“Pengalaman mengusahakan kedai iklan bersama dua beradik yang lain sejak 1996 serta bakat seni khat secara semula jadi lahir dalam diri sendiri yang dikurniakan Allah s.w.t memberi kelebihan kepada saya mencipta karya terbaik sehingga berjaya mengekalkan tempat pertama untuk kali kedua berturut-turut bagi kategori yang sama.

“Malah, lebih manis karya yang saya hasilkan menerusi gabungan idea daripada pemerhatian bahan-bahan sekitar ini turut memihak kepada saya menerima Piala Mandalika,” katanya.

Bapa kepada lima anak berusia dua hingga 11 tahun itu mengakui tidak mewarisi bakat seni daripada keluarga, sebaliknya minat itu lahir secara semula jadi dan bakatnya terserlah sejak di bangku sekolah lagi.

Syed Ubaidillah sudah menyertai pelbagai pertandingan peringkat kebangsaan dan luar Terengganu anjuran pelbagai jabatan dan agensi sejak 13 tahun lalu. Malah penyertaannya dalam pelbagai kategori seni khat itu seringkali berjaya mendapat tempat utama sebelum dia mencuba nasib dalam TIIAF bermula tahun lalu.