Halaman

22 September 2012

Produk anyaman diberi nafas baru

Oleh: Aida Abd Rahman

Industri anyaman di Terengganu diberi nafas baru sejak lapan tahun lalu dengan mempelbagaikan produk penghasilannya kepada beg tangan, bekas serbaguna dan beg laptop dalam usaha meningkatkan jualan produk itu di pasaran.

Menurut Pengarah Perbadanan Kraftangan Malaysia Cawangan Terengganu, Encik Khairul Hafizi Naharuddin, berkata sejak 2004 sehingga kini, semua pengusaha industri anyaman di negeri ini diminta mengeluarkan produk yang lebih berkualiti dan mampu mendapat perhatian pengguna masa kini berbanding sebelum ini yang hanya terhad kepada tikar, bakul dan tudung saji semata-mata.
Industri anyaman kini diberi nafas baru berbanding hanya terhad kepada tikar, bakul dan tudung saji semata-mata. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

“Kita minta mereka kurangkan membuat tikar, sebaliknya memajukan lagi industri anyaman ini dengan menghasilkan produk lain seperti beg tangan, bekas hiasan..Selain menggabungkan warna yang lebih menarik.

 “Bagaimanapun, pengusaha anyaman seperti di Paka (Dungun) masih lagi menghasilkan tikar dan menjualkannya kepada pemborong dan peniaga barangan kraf itu, manakala pengusaha kraf itu di Marang menghasilkan pelbagai produk seperti beg daripada anyaman tikar,” katanya.

Encik Khairul berkata, industri anyaman di Terengganu yang turut berada di bawah program Satu Daerah Satu Industri itu kini hanya diusahakan kira-kira 20 wanita kebanyakannya warga emas dari sekitar Marang dan Dungun.


 “Masalah yang menimpa industri anyaman juga lebih kurang sama sebagaimana tembaga di mana anyaman yang hanya diusahakan wanita yang agak berusia dan jumlahnya tidak ramai berbanding permintaan terhadap produk itu sentiasa menggalakkan.

“Kraftangan Terengganu menyediakan khidmat latihan dan kemahiran menghasilkan pelbagai rekabentuk dan corak anyaman kepada mereka yang berminat dalam usaha menggalakkan pembabitan leboh ramai wanita muda dalam industri itu,” katanya.

Beliau berkata, kebanyakan produk yang dihasilkan itu tidak sempat dijadikan stok jualan memandangkan permintaan daripada pelanggan sering meningkat berbanding bilangan pengusaha yang terlalu rendah.

Encik Khairul tidak menolak faktor kurangnya margin keuntungan perusahaan itu berbanding produk kraf lain menyebabkan sukar untuk menarik minat generasi muda melibatkan diri dalam perusahaan itu, selain Kraftangan berusaha mengekalkan pengusaha sedia ada yang mewarisi tradisi keluarga masing-masing itu.

Katanya, jualan industri anyaman di Terengganu kurang RM1 juta setahun. Bagaimanapun, pihaknya mengenalpasti usaha yang boleh dilaksanakan untuk meningkatkan hasil jualan produk anyaman selain menambah bilangan pengusahanya.