Halaman

17 September 2012

Pertandingan bot berhias tawar hadiah RM50,000

Oleh; Esah Abdullah
Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA

Pertandingan Citra Bot Berhias sempena sambutan ulangtahun yang ke-50 hari Keputeraan Sultan Terengganu bakal menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM50,000.

Pertandingan yang akan diadakan pada 6 Oktober itu bertempat di Marina Haritage & Spa Pulau Duyong, Kuala Terengganu di mana johan ditawarkan hadiah wang tunai RM20,000, naib johan (RM15,000) dan ketiga (RM10,000) manakala dua saguhati RM5,000 setiap satu beserta plak dan sijil.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian negeri, Dato’ Haji Abdul Rahin Mohd Said berkata, setakat ini 15 pasukan telah mengesahkan penyertaannya.

“Selain tujuh daerah dari Kemaman hingga ke Besut ia turut disertai oleh Petronas, Epic, TDM , Tesdec, Kolej Universiti TATI (TATIUC), Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah),”.

Dato’ Haji Abdul Rahin berkata demikian dalam sidang media di Wisma Darul Iman hari ini. Hadir sama Ketua SekretariatTahun Melawat Terengganu (TMT) Encik Ahmad Fathil Abdul Ghani dan Pengerusi Persatuan Pelancongan Terengganu Haji Wan Supian Dato’ Wan Ishak.

“Pertandingan ini diharap menjadi kayu pengukur kepada kerajaan untuk menghadapi TMT pada 2013 nanti ,” katanya.

Katanya, perasmian pertandingan akan diadakan serentak dengan pembukaan Payang Walk yang akan diadakan secara besar-besaran dengan persembahan kebudayaan seperti nyanyian dan tarian dari semua daerah di negeri ini.

Sehubungan itu, gerai-gerai jualan pelbagai produk tempatan akan dibuka sepanjang jalan mulai pukul 6 petang dari pentas utama di Taman Shah Bandar hingga ke Pasar Payang di mana jalan berkenaan akan ditutup kepada semua kenderaan untuk memberi laluan kepada peniaga membuka gerai di situ.

“Pada malam berkenaan turut diadakan pertunjukan bunga api, tarian tradisional serta cabutan bertuah dan paling menarik pelancong asing akan diarak dengan menaiki beca berhias yang disediakan ke tapak program,” katanya.