Halaman

03 September 2012

Penjawat diminta ubah cara kerja

Oleh: Suriati Ali

Penjawat awam di Terengganu diminta mengubah cara bekerja, cara berfikir dan sentiasa menambah baik proses sedia ada bagi memenuhi ekspektasi pihak berkepentingan dan pelanggan.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah, berkata pihaknya merayu setiap penjawat awam, termasuk warga Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JaHEAT) agar sentiasa bekerja keras, jujur dan bertanggungjawab terhadap tugas yang dipertanggungjawab.

“Langkah itu cukup penting bagi memastikan tahap pencapaian JaHEAT sentiasa berada ditahap yang disasarkan malahan melebihi tahap yang telah ditetapkan, “ katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) tahunan dan bulanan 2012, di dewan Auditorium jabatan itu, hari ini.

Hadir sama, Persuruhjaya JaHEAT, Dato’ Haji Rozali Salleh dan Pengarah JaHEAT Puan Hajah Samsiah Awang.

Seramai 71 kakitangan di mana 63 penjawat awam menerima APC tahunan dan lapan lagi memperoleh APC bulanan.

Katanya, perkhidmatan awam telah mengalami banyak perubahan sejajar dengan ekspektasi dan kehendak pihak berkepentingan yang tinggi bagi memastikan perkhidmatan awam sentiasa relevan dan mampu memberi perkhidmatan yang terbaik untuk rakyat secara amnya.

“Oleh itu, kita perlu membawa perubahan, serta membentuk agenda untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

“Perlu kita ingat rakyat merupakan pelanggan kepada perkhidmatan yang kita sediakan, sentiasa menaruh harapan tinggi kepada penjawat-penjawat awam,” katanya.

Katanya, kepuasan pelanggan dan rakyat merupakan sesuatu yang perlu diutamakan, supaya perkhidmatan awam terus kekal relevan.

“Kejayaan kita adalah diukur menerusi penyampaian perkhidmatan yang menepati kehendak dan cita rasa pelanggan.

“Warga JaHEAT hendaklah berusaha secara berterusan, tentang cara-cara bagaimana perkhidmatan awam boleh ditambahbaik untuk kepuasan hati pelanggan.

“Saya percaya JaHEAT akan tampil ke hadapan sebagai sebuah jabatan yang berada di kelok pembaharuan kearah transformasi besar negeri ini,” katanya