Halaman

05 September 2012

Pelabur asing rancang projek ternakan udang besar-besaran di Mercang

Oleh: Kamarudin Mat Akib
Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Orang ramai berebut mendapatkan aiskrim yang diagihkan Menteri Besar.

Sebuah syarikat asing dari China akan melaksanakan projek ternakan udang secara besar-besaran di Mercang, Marang, melibatkan kos sebanyak RM1.082 bilion, tahun ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata syarikat berkenaan yang bakal mengadakan usahasama dengan syarikat tempatan akan melaksanakan projek tersebut di Kampung Pasir Putih, melibatkan tanah seluas 1,090 hektar.

“Projek ini yang dijangka dimulakan sebelum akhir tahun ini, akan menyediakan kira-kira 1,000 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Raya Perdana Daerah Hulu Terengganu di Padang Astaka, Kuala Berang, hari ini.

Ribuan penduduk membanjiri Padang Astaka Kuala Berang pada sambutan Majlis Raya Perdana Daerah Hulu Terengganu.

Hadir sama pada majlis itu, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Haji Abdul Razak Ismail; Yang Dipertua Dewan Udangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang; Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan dan saf kepimpinan negeri.

Sebelum itu, Menteri Besar mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) di Pejabat Daerah Hulu Terengganu.

Beliau berkata, permohonan syarikat berkenaan untuk melabur di bidang akuakultur marin telah diluluskan oleh mesyuarat Exco hari ini.


Syarikat tersebut merupakan pengeluar udang terbesar di negara China dan mempunyai rangkaian pasaran meluas di negara-negara Eropah, Amerika Syarikat dan negara China sendiri.

“Sebelum ini, kerajaan negeri sudah meluluskan permohonan projek ternakan udang bersepadu di Setiu yang dikenali sebagai ‘Intergrated Shrimp Aquaculture (i-SHARP) yang dilaksanakan oleh Syarikat Blue Archipelago Berhad di kawasan seluas 1,000 hektar,” katanya.

Projek berkenaan akan mula beroperasi pada tahun 2014 dan mewujudkan peluang pekerjaan kepada 1,140 penduduk di sekitar daerah Besut dan Setiu.


Menteri Besar berkata, selepas kedua-dua projek ini beroperasi dalam tempoh beberapa tahun akan datang, Terengganu bakal menjadi pengeluar udang terbesar di negara ini.

“Inilah usaha yang dilakukan Kerajaan Barisan Nasional untuk menarik pelabur asing datang ke Terengganu dan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan,” katanya.