Halaman

19 September 2012

Minggu Jalinan Mesra ubah paradigma mahasiswa ke UMT

Oleh: Aida Abd Rahman
Program Minggu Jalinan Mesra kepada mahasiswa yang baru mendaftar masuk ke Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mampu mengubah paradigma segelintir pelajar yang tidak memilih Insitusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) itu sebagai pilihan utama bagi menyambung pengajian.


Menteri Besar berbual mesra bertanyakan khabar dengan pelajar-pelajar UMT sempena Program Minggu Jalinan Mesra UMT 2012/2013

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT, Profesor Dr Yahaya Ibrahim (gambar), berkata segelintir pelajar yang pada awalnya kurang seronok dan kecewa berikutan `terpaksa’ mendaftar masuk ke UMT , berubah positif serta mula menerima kehidupan baru di kampus IPTA itu selepas selesai menjalani program orientasi berkenaan sepanjang seminggu.

“Pelajar yang baru mendaftar masuk mengatakan mereka tidak berapa seronok kerana pada awalnya meminta universiti lain, bagaimanapun akhirnya mereka mendapat UMT. Tetapi, dalam proses seminggu sahaja, sebaik selesai proses orientasi, Minggu Jalinan Mesra pada hari ketiga, hari keempat sudah mula menyukai UMT selepas sudah mengenali dan mengetahui apa yang ada di sini (UMT).

“Dalam kes tertentu juga ada pelajar mendapat kursus yang tidak dipohon. Bagaimanapun, apabila mereka didedahkan dengan persekitaran, pengajaran dan juga kemudahan di UMT mereka akhirnya bersyukur dapat ke UMT. Tidak ada kes sangat (penuntut) yang masuk Universiti Malaysia Terengganu keluar ke universiti lain dan sebagainya. Jarang kes itu berlaku,” katanya ketika sidang media selepas Majlis Perjumpaan Anak-Anak Terengganu Yang Menuntut di UMT, Gong Badak, malam semalam (18 september).


Wakil pelajar yang menerima Kad Diskaun Siswa bergambar kenangan bersama Menteri Besar, Naib Canselor dan pegawai UMT

Turut hadir, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Keseniaan dan Warisan negeri, Dato' Abdul Rahin Mohd Said.

Prof Dr Yahaya berkata, UMT lazimnya menjadi pilihan kedua dan juga ketiga untuk menyambung pengajian dalam pelbagai bidang kecuali beberapa kursus yang disediakan UMT seperti Akauntan menjadi pilihan pertama segelintir pelajar.

Menurutnya, suasana mesra dengan persekitaran serta fasilitator yang diterapkan sepanjang Minggu Jalinan Mesra membantu pelajar memperolehi maklumat yang memudahkan mereka membuat keputusan untuk memilih kursus, kurikulum selain mendapat pendedahan mengenai pelbagai aktiviti di kampus itu.

“Oleh itu, pelajar melihat terdapatnya keunikan Universiti Malaysia Terengganu. Ada program survival laut yang diwajibkan kepada setiap pelajar sepanjang tiga hari dua malam. Jadi, semua pelajar boleh menyertai program survival laut.

“Ada yang sudah balik dan ada sedikit lagi yang masih di Pulau Bidong. Program itu tidak ada di universiti lain kecuali UMT. Malah, ada pilihan-pilihan kursus kurikulum yang memang tiada di universiti lain. Misalnya, lesen menyelam yang turut disertai pelajar dari universiti lain,” katanya.

Katanya, UMT juga memberi peluang dan menyokong penglibatan pelajar menyertai mana-mana 90 persatuan dan aktiviti di pusat pengajian yang melibatkan pelbagai bidang termasuk kesenian, kemasyarakatan, aktiviti lasak, lawatan dengan menyediakan bantuan dari segi kewangan.

Beliau berkata, dasar UMT juga tidak menyekat pelajar melibatkan diri dalam aktiviti di peringkat antarabangsa. Malah, walaupun masih baru, UMT sudah melakar pelbagai kejayaan di peringkat dunia.

Sehingga kini, UMT sudah melahirkan 7,500 penuntut sejak awal penubuhannya. Selain itu, 1,502 penuntut UMT merupakan anak Terengganu yang sedang mengikuti pengajian semester pertama hingga akhir.

Bagi sesi terbaru, UMT menawarkan 2,584 tempat bagi permohonan kemasukan pelajar online (UPU), di mana daripada jumlah itu lebih kurang 2,060 orang mahasiswa mendaftar secara online untuk hadir pada pendaftaran kali ini.

Pelajar baru berkenaan dari seluruh Malaysia termasuk empat daripada Thailand.
Tahun ini juga, IPTA berkenaan menawarkan 26 kursus Sarjana Muda dengan pertambahan satu kursus baru iaitu Ijazah Sarjana Muda Pengurusan (Pelancongan) daripada Fakulti Pembangunan Ekonomi.

Sempena dengan pendaftaran pelajar baru itu, UMT turut mengadakan Minggu Jalinan Mesra 2012/2013 pada 2 hingga 7 September lalu yang menyediakan pelbagai acara menarik bagi memastikan mahasiswa dapat mengetahui dengan lebih mendalam berkenaan UMT.

Antara pengisian yang telah dirancang adalah seperti kenali fakulti, penerangan tentang pengajian umum, syarahan umum, taklimat daripada Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Negara (PTPTN) , aktiviti sukan dan kebudayaan , sesi kenali Majlis Perwakilan Pelajar, taklimat kesihatan dan kecemasan dan kemuncak adalah Majlis Ikrar Pelajar Baharu dan Penyerahan Aku Janji yang akan diadakan di Dewan Sultan Mizan, UMT, pada 6 September lalu.