Halaman

03 September 2012

Mesyuarat persiapan ADC Peringkat Kebangsaan

Oleh; Esah Abdullah



Kerajaan negeri memberi komitmen penuh terhadap penyertaan Kampung Bukit Wan, Batu Rakit yang terpilih menyertai pertandingan Anugerah Desa Cemerlang (ADC) Peringkat Kebangsaan.

Persiapan menjelang ketibaan barisan panel penilai ke negeri ini pada Oktober depan ditangani secara bersama oleh pelbagai agensi kerajaan bagi memastikan setiap aspek yang pertandingkan dipenuhi dengan jayanya.

Mesyuarat jawatankuasa bagi membincangkan persiapan menjelang hari penghakiman Pertandingan Anugerah Desa Cemerlang (ADC) telah diadakan di Dewan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Bukit Wan minggu lalu.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan (Khidmat Pengurusan) Haji Rozali Salleh dihadiri wakil-wakil jabatan termasuk pejabat Daerah Kuala Terengganu, Unit Pengurusan Maklumat Negeri (UPMN) dan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).

Turut hadir, Unit Komunikasi Negeri (Ukom), Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Risda, Jabatan Kesihatan, Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Perikanan dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) selaku urusetia.

Kampung Bukit Wan diumum sebagai johan ADC di peringkat negeri pada majlis yang diadakan di Wisma Darul Iman Julai lalu sekaligus mewakili negeri ke pertandingan Peringkat Kebangsaan.