Halaman

20 September 2012

Lumba basikal LTdL – Terengganu diberi penghormatan kali kedua

Oleh; Esah Abdullah


Terengganu sekali lagi diberi penghormatan untuk menjadi tuan rumah bagi pusingan peringkat akhir kejohanan lumba basikal Le Tour de Langkawi (LTdL) edisi ke-18 bermula 21 Februari hingga 3 Mac tahun depan.

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said (gambar) berkata, perlumbaan peringkat empat itu dari Kuantan ke Dungun – Besut – Pasir Putih Kelantan – Kuala Berang Hulu Terengganu dan berakhir di Kuala Terengganu sama seperti tahun lalu.

“Saya harap peminat lumba basikal di negeri ini keluar beramai-ramai sepanjang laluan untuk menghangatkan suasana LTdL,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Darul Iman semalam.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Dato’ Yahya Khatib Mohamad dan Pengerusi Ladang Rakyat Terengganu Sdn Bhd, Datuk Wan Ahmad Nizam Abdul Hamid.

Gambar fail
Tambahnya beliau yakin sambutan terhadap kejohanan yang berprestij itu menjadi lebih meriah apa lagi tahun depan merupakan Tahun Melawat Terengganu (TMT) dan tumpuan orang ramai tentunya pada pentas terakhir di bandar Kuala Terengganu.

Menteri Belia dan Sukan Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek pada majlis Pelancaran LTdL 2013 di Putrajaya semalam berkata, Terengganu mempunyai sebab untuk meraikan kedatangan LTdL 2013 bersama pasukan Terengganu Cycling Team yang kini mendahului senarai keseluruhan berpasukan UCI (Kesatuan Berbasikal Antarabangsa) Asia Tour.

“Terengganu juga muncul pasukan Malaysia pertama akan dimahkotakan sebagai juara berpasukan dalam sirkit benua Asia itu,” katanya.