Halaman

18 September 2012

Ketengah serah zakat perniagaan RM1.32 juta

Oleh: Suriati Ali

Kumpulan syarikat Ketengah Holding Sdn. Bhd(Ketengah) membayar zakat perniagaan sebanyak RM1.32 juta kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) di pejabat Menteri Besar, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Majlis penyerahan zakat perniagaan oleh Kumpulan syarikat Ketengah Holding Sdn Bhd (Ketengah) yang disaksikan Menteri Besar. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Ketika penyerahan, Ketengah diwakili Timbalan Pengerusi Jemaah Lembaga Ketengah, Dato’ Ibrahim Mohamad manakala JHEAT oleh Pesuruhjayanya, Mohd. Rozali Salleh sambil disaksikan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

Zakat yang dikeluarkan kumpulan syarikat itu berdasarkan keuntungan yang diperoleh pada tahun lalu.

Pembayaran itu menyaksikan peningkatan sebanyak 36 peratus berbanding tahun lalu iaitu sebanyak RM973,505.

Zakat tersebut diperoleh melalui tujuh buah anak syarikatnya iaitu Ketengah Holding (RM66,270), Ketengah Perwira (RM675,231), Yayasan Islam Terengganu (YIT-KPSB) (RM157,032), Ketengah Jaya(RM365,711), Kebunika (RM 18,158), Ladang Ternak Tani(RM17,894) dan Rakyat Ketengah Perwira (RM24,259).

Sidang media selepas majlis penyerahan zakat perniagaan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, Ketengah mencatat keuntungan selepas cukai sebanyak RM52.9 juta bagi tahun tahun lalu.

Jumlah itu menyaksikan peningkatan sebanyak 36.06 peratus berbanding tahun sebelumnya iaitu sebanyak RM38.9 juta untuk tempoh sama yang melibatkan hasil tujuh anak syarikatnya.

“Keuntungan tersebut diperoleh terutamanya daripada kumpulan perladangan dan perkilangan selain aktiviti sampingan seperti pelaburan portfolio serta pelaburan dalam saham amanah,” katanya.

“Sumber kuntungan itu juga adalah hasil peningkatan harga kelapa sawit yang merupakan faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan keuntungan tersebut di samping kecekapan dalam menguruskan syarikat.,” katanya

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, hampir keseluruhan anak syarikat di bawah Ketengah memperolehi keuntungan bagaimanapun dua syarikat mengalami sedikit penurunan iaitu Ketengah Holding Sdn. Bhd. dan Rakyat Ketengah Perwira Sdn. Bhd.

"Bagaimanapun kita yakin jumlah perolehan akan meningkat berdasarkan ramalan harga kelapa sawit yang dijangka stabil menjelang akhir tahun ini,"katanya.


Ketengah diwakili Timbalan Pengerusi Jemaah Lembaga Ketengah, Datuk Ibrahim Mohamad manakala JHEAT oleh Pesuruhjayanya, Mohd. Rozali Salleh.