Halaman

27 September 2012

Kerjasama Malaysia dengan negara luar tingkat pengeluaran madu hingga 50 peratus

Oleh: Aida Abd Rahman

Pengusaha madu lebah di negara ini perlu bekerjasama dengan pengeluar utama industri itu seperti di Thailand dan Indonesia bagi memastikan pengeluarannya meningkat sehingga 50 peratus sekali gus bukan hanya mampu memenuhi permintaan dalam negara, malah menjadi pengeksport ke luar negara.

Sehingga kini, Malaysia hanya menghasilkan 10 peratus sahaja keperluan madu dalam pasaran negara, manakala sejumlah 90 peratus produk itu masih diimport dari Australia, China, New Zealand dan Eropah.

Naib Presiden Persatuan Perlebahan SeAsia (AAA), Profesor Dato’ Dr Makhdzir Mardan berkata walaupun lima daripada lapan spesies madu dunia terdapat di negara ini sekali gus menjadi pusat kepelbagaian lebah madu dunia, pengeluaran produk itu amat rendah dan gagal menampung permintaannya yang semakin meningkat.

 “Pengeluaran yang tidak menentu juga turut menjejaskan kontrak pengeluar madu dengan syarikat pengeluaran berasaskan makanan khususnya makanan kanak-kanak di negara ini.

 “Syarikat pengeluaran makanan seperti Nestle umpamanya memerlukan sehingga 800 tan madu setahun bagi menghasilkan produk syarikatnya,” katanya di sidang akhbar sempena Persidangan lebah Sedunia 2012, di Tingkat 5, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam (26 September).

 Turut hadir, Ketua Sekretariat TMT 2013, Encik Ahmad Fathil Abd Ghani. Sebanyak 28 negara seluruh dunia mengesahkan penyertaan dalam persidangan enam hari yang bermula 28 September ini dan bakal dirasmikan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, di Dataran Syahbandar, Kuala Terengganu, pada 28 September (esok), kira-kira jam 4 petang.

 Dato Dr Makhdzir berkata, sebanyak lima bengkel dijalankan termasuk empat daripadanya berlangsung di Universiti Malaysia Terengganu sejak semalam.

Bengkel merangkumi topik bagaimana apiterapi dapat merawat penyakit lumpuh dan arthritis, bahan daripada lebah boleh digunakan untuk tujuan kosmetik, kaedah mengenali madu sama ada tulen atau tidak dengan menggunakan deria bau serta perbezaan madu Malaysia dengan negara lain.

 Selain itu, beliau berkata, Terengganu antara penyumbang kepada industri itu di negara ini berikutan terdapat kira-kira 1,000 pengambil madu tualang di Marang dan madu akasia di Setiu yang masih menjalankan aktiviti berkenaan secara tradisional.

 “Mereka mengambil madu sebagai mata pencarian dalam tempoh yang panjang sehingga mencapai enam hingga setahun berbanding di tempat lain lebih singkat masanya.

 “Oleh itu, menerusi persidangan kita mahu menambah nilai, memperbaiki sistem pemasaran dan juga penjagaan produk berkenaan manakala bengkel pula dapat menurunkan kemahiran bagi menghasilkan keluaran yang berkualiti termasuk kaedah mengenal madu terbaik untuk pasaran yang lebih meluas,” katanya.

Bagaimanapun, pada tahun ini, beliau berkata keadaan agak luar biasa apabila lebah tidak datang sehingga gagal menghasilkan sebarang pengeluaran madu menyebabkan tindakan segera bagi mengatasi masalah itu harus dilakukan.

 “Misalannya ketika hujan, panas.. cuaca tidak menentu mengakibatkan perubahan kepada bunga yang menjadi makanan lebah ini, berubah tidak teratur dan berganjak. Jadi pembiakan lebah ini terjejas.

 “Ini satu perkara yang bukan sahaja berlaku di Malaysia, malah peringkat Rantau Asia dan dunia yang memberi impak kepada pertanian dan sumber genetik di hutan,” kata beliau lagi.

 Sehingga kini, Summer Pasific, di Bintulu Sarawak merupakan perintis kepada industri lebah madu di negara ini yang berupaya mengeluarkan 800 tan madu lebah asli setahun menerusi perusahaan di kawasan tanah seluas 125,000 hektar .