Halaman

30 September 2012

Karnival Jelajah Sihat Peringkat Daerah Besut mendapat sambutan penduduk



Oleh: Mohammad Ishak 

Karnival Jelajah Sihat anjuran Kementerian Kesihatan mampu memberi kesedaran dan minat masyarakat memupuk amalan cara hidup sihat menerusi pelbagai aktiviti yang dijalankan sempena kempen yang diadakan di seluruh negara.

Kempen sama bagi Peringkat Daerah Besut diadakan di Dataran Jertih Souq semalam, juga bertujuan memberi pendedahan kepada orang ramai mengenai pentingnya menjaga kesihatan dalam mengamalkan gaya hidup sihat sepanjang hayat.

Program yang dirasmikan oleh Ahli Parlimen Besut,Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin yang juga Penasihat Agama YAB Perdana Menteri, memberi peluang penduduk setempat melihat pelbagai aktiviti dan pameran yang diadakan di tapak karnival.



Antara aktiviti yang diadakan termasuklah senam robik, walkathon 10,000 langkah, promosi pencegahan HIV/Aids, sukan rakyat,aktiviti fizikal, demontrasi 7 langkah mencuci tangan dan acara makan secara sihat.

Karnival dua hari itu sedikit sebanyak dapat memberi kefahaman dan kesedaran kepada orang ramai menerusi pelbagai aktiviti yang diadakan sepanjang tempoh program berlangsung. Dalam perkembangan berkaitan,

Dr Abdullah bimbang dengan laporan peningkatan kes demam denggi di daerah Besut yang disifatkan amat ketara sepanjang tahun ini berbanding tahun 2011.

Beliau berharap pihak terbabit terutama Jabatan Kesihatan dapat mengatasi masalah itu selain orang ramai perlu memberi kerjasama dalam usaha mencegah berlakunya wabak berkenaan di daerah ini.

Katanya, penceghan boleh dilakukan dengan meningkatkan aktiviti gotong royong dan pemusnahan tempat-tempat pembiakan Ades yang menjadi strategi paling berkesan untuk mengatasi masalah berkenaan.