Halaman

03 September 2012

Bertuah jadi anak Terengganu

Oleh; Esah Abdullah

Saya berjanji akan belajar bersungguh-sungguh dan dapat capai kepujian dalam peperiksaan nanti, kata Wan Nurulauma Wan Aziz,20 dari Kampung Gong Kepas, Besut yang akan melanjutkan pengajian ke Universiti Malaysia Sarawak.

Beliau antara 3,406 pelajar peringkat Ijazah menerima bantuan persediaan Yayasan Terengganu daripada Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud yang diadakan di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri Gong Badak baru-baru ini.

Anak pasangan Wan Aziz Wan Mahmud, 49, Zaini Mat Kasim, 39 itu merupakan anak kedua daripada tujuh beradik dan enam daripadanya masih dibangku sekolah.

“Saya sangat bersyukur terima bantuan ini yang dapat meringankan beban keluarga kerana ayah hanya bekerja sebagai tukang kebun dan perlu menyara adik yang ramai,” katanya.

Kegembiraan itu turut dikongsi anak pesara Jabatan Perhutanan, Sharifah Aisahnazirah Syed Husain,22, dari Kampung Tok Mucong, Wakaf Tapai yang menyambung pengajian ke Universiti Malaysia Sabah.

Anak bongsu kepada pasangan Syed Husain Syed Omar, 64, dan Puan Shahirul Bariah Embong, 55, itu mengambil kursus Ijazah Teknologi dan Industri Serat Kayu setelah beroleh Diploma di Universiti Institut Teknologi Mara (UiTM) Pahang.

“Saya rasa bertuah kerana dilahirkan di bumi bertuah ini, kerana banyak bantuan pendidikan yang disediakan oleh kerajaan dan ramai kawan saya yang berada di negeri lain cemburu pada saya,” katanya.

Ucapan terima kasih juga datang daripada dua sahabat iaitu Loo Chze Koon dan Miki Ong dari Kampung Ladang Nisan Empat Kuala Terengganu.

Loo Chze Koon mengambil kos Agroteknologi (Teknologi Lepas Tuai) di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menerima RM1,000 daripada To’ Puan Seri Norliza dan jumlah ini sangat bermakna kepadanya untuk belanja persiapan menjadi warga UMT.

Manakala Miki Ong menerima RM1,300 mengambil kursus Ijzah di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) dalam bidang Ekonomi Antarabangsa.

“Saya bangga jadi anak Terengganu dan berharap dapat mencurah bakti di negeri ini bila habis belajar nanti,” katanya.