Halaman

30 September 2012

103 terima Gelaran dan Bintang-Bintang Darjah Kebesaran Negeri

Oleh: Esah Abdullah

Seramai 102 menerima Bintang-Bintang Darjah Kebesaran Negeri di Istiadat Penghadapan dan Pengurniaan Gelaran dan Bintang-Bintang Darjah Kebesaran Negeri sempena sambutan Hari Keputeraan Yang Ke-50 Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin di Singgahsana Istana Maziah Kuala Terengganu hari ini.


Pada istiadat itu, Ahli Dewan Pangkuan Diraja Terengganu, Dato’ Haji Syed Omar Abdul Kadir Al-Idrus dikurniakan gelaran Engku Kelana DiRaja yang membawa gelaran ‘Engku Kelana’.


Manakala Ketua Setiausaha Negara, Dato’ Seri Dr. Ali Hamsa dikurniakan Darjah Seri Setia Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu (S.S.M.Z).


Tiga orang penerima Darjah Seri Paduka Mahkota Terengganu (S.P.M.T) ialah Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Zulkifeli Mohd Zin; Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Rodzali Daud dan Tan Sri Dato’ Shamsul Azhar Abbas.

Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Haji Abd. Razak Ismail di antara enam penerima Darjah Setia Sultan Sultan Mizan Zainal Abidin (D.S.M.Z) manakala Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abd Rahman, salah seorang daripada 11 penerima Darjah Dato’ Paduka Mahkota Terengganu (D.P.M.T) yang turut membawa gelaran Dato’.

Seramai 14 orang menerima Darjah Setia Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu (S.M.Z), Darjah Setia Mahkota Terengganu (S.M.T) (15 orang), Darjah Ahli Mizan Zainal Abidin Terengganu (A.M.Z) (21 orang) dan Darjah Ahli Mahkota Terengganu (A.M.T) (30 orang).

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, berkenan berangkat di istiadat tersebut dan mengurniakan gelaran dan bintang-bintang darjah kebesaran kepada semua penerima.


Turut berkenan berangkat Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah beserta anakanda Baginda Tengku Nadhirah Zahrah dan Tengku Fatimatuz Zahra’.

Hadir sama, Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri To’ Puan Hajah Norliza Mahmud; Setiausaha Kerajaan Dato’ Haji Mazlan Ngah; Kerabat-kerabat Raja; Ahli-ahli Dewan Pangkuan DiRaja; Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri; Orang-orang Besar Raja; Ahli-ahli Darjah Kebesaran Negeri; Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri dan Dewan Negara.

Sebelum ini, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mengurniakan Darjah Kerabat Kerajaan Terengganu Yang Amat Mulia Darjah Kerabat yang pertama (D.K) kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Mukhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.