Halaman

16 August 2012

Tradisi agih sumbangan raya sejak lima tahun lalu

Oleh: Aida And Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra
Pengayuh beca gembira bersama duit raya yang diperolehi yang disampaikan Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu.

Kerajaan negeri meneruskan tradisi sejak lima tahun lalu memberi sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada semua pengayuh beca di negeri ini bagi menceriakan golongan itu sempena menjelangnya lebaran.

Pada tahun ini, kerajaan negeri memperuntukkan RM21,000 untuk diagihkan kepada 70 pengayuh beca dari sekitar Kuala Terengganu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata hampir keseluruhan daripada pengayuh beca berkenaan mendapat dana hari raya di Dewan Undangan Negeri masing-masing dan bantuan hari raya itu dapat menambah sumbangan sedia ada bagi menceriakan sambutan Aidilfitri nanti.

“Pada masa yang sama dapat bertemu dan bermesra selain menasihatkan mereka bekerja dengan baik selaku duta kecil pelancongan yang memerlukan mereka menjaga imej dengan pelancong dalam dan luar Terengganu,” katanya di sidang media selepas menyampaikan sumbangan itu, di Dataran Syahbandar, Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu, Haji Azmi Razik.

Selain itu, Menteri besar berkata, kerajaan akan berusaha menaikkan imej golongan itu dengan memilih sekumpulan pengayuh beca dengan menempatkan kumpulan itu di zon khas yang melibatkan laluan pejalan kaki sempena pembukaan Payang Walk, berhampiran Pasar Payang, tidak lama lagi.