Halaman

12 August 2012

TMT tawar harga istimewa produk kraf sempena raya

Oleh; Esah Abdullah

Tourism Malaysia Terengganu (TMT) mengadakan Mega Sale Ramadan yang menawarkan harga istitmewa terutama produk kraftangan sejak 15 Julai lalu sehingga 30 September ini.

Pengarahnya, Encik Mohd Nasir Khushairi berkata, sempena Ramadan dan menjelang raya, TMT menawarkan harga istimewa untuk semua produk batik, songket dan barangan kraf melalui beberapa pengusaha terpilih.

“Kita turut memberi tumpuan untuk menarik lebih ramai pelancong terutama daripada negeri Melaka dan Johor ke Terengganu, begitu juga sebaliknya,” katanya.

Menurutnya, program itu tercetus apabila pengendali pelancongan di negeri ini mengadakan lawatan ke Johor dan Melaka baru-baru ini yang ternyata banyak usahasama pelancongan dapat dijalin antara ketiga-tiga negeri itu.

Difahamkan pada masa ini rakyat Terengganu merupakan negeri kedua teramai mengunjungi Melaka samaada untuk melancong atau bercuti.