Halaman

06 August 2012

Taktik guna budak, peniaga mercun tetap berdepan tindakan

Oleh: Aida Abd Rahman
Segelintir peniaga mercun di negeri ini dikesan bertindak mengaburi pihak berkuasa dengan menjadikan kanak-kanak sebagai `pembantu’ gerai jualan mereka sebagai taktik berselindung di sebalik kesalahan jenayah itu.

Ketua Polis Terengganu, Senior Asisten Komisioner Dato’ Jamshah Mustapa, berkata peniaga dikatakan bertindak demikian sebagai mengalih perhatian ramai dan juga pihak berkuasa yang mungkin akan bersimpati sekali gus terlepas daripada tindakan undang-undang apabila melihat penjual adalah di kalangan kanak-kanak.

“Apabila kita nampak budak-budak kita akan berasa belas ehsan, tetapi kegiatan sebegini tetap salah. Kalau kita dapat tangkap kita tetap akan mendakwa mereka mengikut undang-undang,” katanya kepada Teganukita di pejabat beliau, baru-baru ini.

Beliau berkata, jika didapati mengedar dan menjual bahan larangan itu, peniaga boleh berdepan dengan hukuman mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 (akta 207), jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda tidak lebih RM10,000.

Tambah beliau, apa yang merungsingkan semua pihak apabila penjualan bunga api tidak disekat menyebabkan pengguna khususnya remaja didapati menyalahguna bahan itu dengan melakukan pengubahsuaian mengikut kreativiti mereka.

“Apabila mereka membeli dan membuka bunga api berkenaan dimasukkan pula ke dalam buluh.. besi dan dimampatkan dengan mengetuk-ngetuk mengakibatkan berlakunya letupan.

“Oleh itu, kita akan sedaya upaya menyekat bahan larangan itu dengan meng haramkan pembelian dan penjualannya supaya bekalan tidak sampai kepada orang ramai,” katanya.

Menurutnya, keuntungan yang tinggi menjadi faktor mendorong ramai peniaga berjinak-jinak dan terlibat dalam kegiatan menjual bahan larangan itu yang lazimnya dibawa daripada negara jiran terutama menjelang musim perayaan.