Halaman

13 August 2012

Pemberian sumbangan suntik semangat

Oleh: Suriati Ali

“Pemberian yang diterima ini mampu menyuntik semangat kami sebagai anggota keselamatan untuk terus menjaga keamanan dan berbakti kepada masyarakat dan negara.

“Sedikit terubat kepada mereka yang tidak dapat pulang menyambut hari raya bersama sanak saudara di kampung, katanya Timbalan Ketua Polis Negeri Terengganu, SAC II Datuk Hamzah Md Jamil.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Penyerahan Sumbangan Hari Raya Kepada Lima Pasukan Keselamatan Terengganu, di Kediaman Seri Iman, Kuala Terengganu, hari ini.


Wakil pasukan lain yang turut hadir menerima bungkusan Pegawai Pemerintah 18 RAMD, Kem Seri Pantai, Seberang Takir, Lt. Kol Mohd Sobirin Mohd Yusof dan Timbalan Komander, Rejimen 512 Askar Wataniah, Kem Padang Midin, Leftenan Kolonel Nazli Alias.

Hadir sama Penguasa Kanan I Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Terengganu, Md Ridzuan Md Hasan dan wakil Pegawai Pemerintah Batalion 9, PGA Gong Badak, ASP Tuan Yusof Ujang Ajutan.

Pada majlis itu, 3,340 bungkusan kuih raya diserahkan Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Negeri Terengganu (Serikandi) kepada pasukan keselamatan itu.

Penguasa Kanan I Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Terengganu, Md Ridzuan Md Hasan berkata pemberian bungkusan hari raya itu mengambarkan bahawa segala komitmen dan bakti yang diberikan setiap anggota keselamatan kepada masyarakat sangat dihargai pelbagai pihak termasuk Serikandi.

“Pihak kami cukup menghargai pendekatan yang dilaksanakan Serikandi kerana mampu merapat dan mengukuhkan lagi ikatan silaturahim,” katanya.