Halaman

31 August 2012

Masyarakat diminta faham erti merdeka

Oleh: Suriati Ali

Semua lapisan masyarakat, terutama geerasi muda diminta memahami dan menghayati erti kemerdekaan sebenar yang sememangnya penuh makna tersirat.



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata merdeka cukup bermakna dan mahal harganya bagi mereka yang memahami,ibaratkan ia tidak boleh dibeli dengan wang ringgit.



“Harta yang cukup berharga adalah merdeka, tanpanya kita tidak mampu mengecapi keamanan, kesejahteraan dan kemakmuran negara.

“Oleh itu, marilah kita bersama-sama merencanakan hasrat Malaysia untuk melahirkan rakyat berdaulat di mana sanggup berjuang demi memartabatkan maruah bangsa dan tanah air kita selamanya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Hari Kebangsaan Ke-55 2012, peringkat negeri Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, hari ini.



Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah: Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abd Rahman dan Panglima Markas Briged Kelapan Infantri, Briged Jeneral Dato’ Mohamad Zaki Hamzah.

Tetamu kehormat lain Ketua Polis Negeri SAC Dato’ Jamshah Mustapa dan beberapa Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri; wakil-wakil rakyat dan pemimpin setempat.



Sebanyak 120 pasukan melibatkan lebih 5,000 peserta daripada pelbagai jabatan dan sekolah menyertai perbarisan sempena sambutan hari kebangsaan yang bertemakan `Janji Ditepati’.



Pasukan itu berarak sepanjang tiga kilometer dengan melalui Jalan Sultan Ismail, Bulatan Ladang, Jalan Pantai Batu Burok dan berakhir di dataran Batu Burok, Kuala Terengganu.



Dato’ Seri Haji Ahmad memberitahu kerajaan negeri berpuashati dengan sambutan pada kali ini, cukup meriah dan pasukan perbarisan yang mengambil bahagian bersemangat melaungkan merdeka dan slogan masing-masing.