Halaman

08 August 2012

Kerajaan selaras dana pesakit

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan negeri diminta menyelaraskan dana bantuan yang disediakan untuk disalurkan kepada golongan sasar agar tidak berlaku pertindihan.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Haji Mohd Nasir Ibrahim Fikri berkata, pada masa ini kerajaan negeri menyediakan tiga dana iaitu Dana Tabung Darul Iman, Dana Tabung Penyakit Kronik dan Dana Kesihatan yang disalurkan melalui Exco yang berkaitan.

Katanya, setiap tahun kerajaan negeri menyediakan peruntukan antara RM2 juta dan RM10 juta setahun bagi membantu golongan sasar yang dikategorikan mengikut keperluan.

Sebagai contoh, Dana Kesihatan diperuntukan sebanyak RM2 juta setahun melalui Exco Kesihatan untuk membiayai keperluan rawatan dan penjagaan pesakit bagi meringankan beban kewangan keluarga pesakit yang tidak berkemampuan.

Begitu juga dengan Tabung Penyakit Kronik yang disalurkan melalui Exco Kebajikan yang tujuannya hampir sama untuk membiayai rawatan dan penjagaan pesakit.

``Ada sesetengah pesakit akan memperolehi bantuan lebih daripada satu dana kerana pesakit akan memohon bantuan melalui dana yang disediakan oleh kerajaan,’’ katanya.

``Apabila program penyampaian bantuan disampaikan, didapati ada sesetengah penerima telah menerima bantuan dan ini seolah-olah menafikan hak orang lain yang turut memerlukan bantuan,’’ katanya

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan bantuan Dana Kesihatan kepada pesakit melalui program Doktor Turun Padang di kawasan Parlimen Kuala Nerus melibatkan lima kampung, iaitu Bukit Tumbuh, Bukit Tunggal, Teluk Pasu, Alor Jambu dan Kebor Air, di sini, petang semalam.

Turut sama, isterinya To’ Puan Hajah Sabariah Dato’ Mohd Yusof dan Timbalan Pengarah Kesihatan negeri (Perubatan), Dr. Mohamad Omar.

Di majlis itu beliau menyampaikan mock cek bernilai RM7,492.50 bagi membiayai dan rawatan kepada ibu tunggal Puan Rakni Harun, 47, yang lumpuh kerana penyakit sawan dan stroke.

Selain itu, turut menerima sumbangan melalui program tersebut ialah adik Wan Muzhafar Wan Abdul Rashid ,8, yang mengalami tunjang saraf rosak kerana kemalangan jalan raya dan terpaksa berkerusi roda sebanyak RM2,500 .

Tiga lagi penerima dalam Parlimen Kuala Nerus ialah Ismail Mat sebanyak RM11,256 . Ghazali Mohamd sebanyak RM18,127 dan Fatimah Deraman, sebanyak RM25,000.