Halaman

12 August 2012

Kempen derma darah di 10 masjid

Oleh: Suriati Ali

Unit Tabung Darah Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu giat mengadakan kempen menarik orang ramai untuk menderma darah sepanjang bulan Ramadan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, YB Dr A. Rahman Mokhtar berkata, unit tabung tersebut mengadakan kempen secara meluas di 10 h masjid terpilih seluruh Kuala Terengganu.

Kempen yang dijalankan pada sebelah malam itu, antaranya melibatkan Masjid AL-Muktafi Billah Shah, Masjid Wakaf Tembesu, Masjid Rhusila, Masjid Pengadang Baru, Masjid Universiti Sultan Zainal Abidin dan Masjid Instep.

“Pihak kami mengakui pada bulan Ramadan seumpama ini, penderma darah daripada masyarakat Islam berkurangan kerana tidak dapat menderma pada siang hari.

“Rata-ratanya hanya 30 hingga 50 penderma saja yang tampil untuk menderma berbanding 80 hingga 100 penderma pada hari biasa,” katanya kepada Teganukita.

Katanya, unit berkenaan juga mengadakan kempen di pusat-pusat komuniti yang menjadi tumpuan ramai untuk menggalakkan masyarakat bukan Islam turut menderma.

``Walaupun Unit Tabung Darah belum menghadapi masalah kritikal kekurangan darah, tetapi ianya perlu mempunyai simpanan untuk menampung jika berlaku kecemasan yang memerlukan darah yang banyak.

``Selain itu tidak dinafikan apabila menjelang perayaan statik kemalangan jalan raya meningkat dan ada yang mengalami kecederaan teruk dan memerlukan bantuan daerah segera,’’ katanya.

Beliau berkata, pada masa ini unit tabung darah tersebut memerlukan kira-kira 1,000 hingga 1,200 pain darah sebulan untuk membantu kes pesakit.

“Tetapi jumlah itu kemungkinan meningkat terutama menjelang musim perayaan terutama bagi membantu mangsa-mangasa kemalangan.

“Oleh itu beliau berharap orang ramai sentiasa prihatin dan bersedia untuk menderma darah bagi membantu membantu orang lain yang memerlukan,” katanya.