Halaman

08 August 2012

Kanak-kanak TPK mula hafaz surah lazim

Oleh: Suriati Ali

Kanak-kanak berumur tiga dan empat tahun di 65 Taska Permata Keluarga (TPK) milik Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) di seluruh negeri ini mula menghafaz 23 surah lazim yang dijangka diperdengarkan kepada umum Oktober nanti.

Pengarah yayasan itu, Encik Mohd Safaruddin Mustaffa, seramai 1,200 kanak-kanak dijangka menyertai program tahunan itu berbanding 1,012 kanak-kanak pada tahun lalu.

“Peningkatan jumlah penyertaan terhadap program yang diperkenalkan sejak 2009 ini membuktikan kesungguhan pihak kami mengajar ilmu agama setiap anak yang dihantar ke TPK,” katanya kepada Teganukita.

Menurutnya, menjadi rutin pagi bagi kanak-kanak di TPK menghafaz surah-surah lazim bersama ustaz dan ustazah sebelum memulakan pembelajaran dan aktiviti harian.

“Kanak-kanak berkenaan dipastikan peka dengan amalan itu supaya tidak ketinggalan.

“Mereka yang menunjukkan minat saja akan dipilih menyertai Program Menghafaz 23 Surah Lazim.
“Ibu bapa disarankan membantu anak-anak menghafaz setiap surah dikehendaki di rumah supaya lebih cepat ingat dan lancar,” katanya.

Katanya, YPKT mengharapkan jumlah lebih besar boleh dicapai kanak-kanak TPK dalam menghafaz 23 surah lazim pada tahun seterusnya.

“Untuk capai sasaran berkenaan, setiap pagi mereka perlu menghafaz beberapa surah sebelum memulakan aktiviti dan pembelajaran.

“Ketika aktiviti pun dimulakan dengan sebutan ayat-ayat suci al-Quran agar setiap patah perkataan itu mudah melekat di hati mereka,” katanya