Halaman

18 August 2012

JPN garis lima langkah ke arah Terengganu Negeri Anjung Ilmu

Oleh; Esah Abdullah

Jabatan Pendidikan negeri mengariskan lima langkah untuk merealisasikan hasrat kerajaan ke arah mewujudkan Terengganu Negeri Anjung Ilmu.

Pengarahnya, Encik Zakaria Hussin berkata, langkah pertama ialah membekalkan bahan sokongan pembelajaran semerta kepada setiap pelajar sasaran utama dan pelajar berpotensi bagi memperolehi semua A dalam empat peperiksaan awam.

“Kita jangka 16,000 pelajar akan terlibat di bawah program ini dengan anggaran kos RM600,000,” katanya di majlis Pelancaran Program Gerakan Merealisasikan 201052 di Kompleks Stadium Gong Badak baru-baru ini.

Katanya, jabatan juga memperuntukkan RM200,000 dengan penglibatan 1,550 untuk mengadakan akademik 201052 selama tiga hari dua malam dan program cakna peperiksaan awam dengan memasang kain rentang di semua sekolah dan tempat strategik bagi menyemarak dan kecaknaan masyarakat yang menelan belanja RM50,000.

Selain itu, jabatan akan menghimpunkan semua pelajar yang mendapat A dalam peperiksaan percubaan UPSR, PMR, SPM dan STPM selama dua hari satu malam di bawah program keterbilangan bersama kepimpinan negeri.

“Satu gerakan emergensi diadakan di setiap daerah melibatkan pelajar, ibu bapa, guru, Pejabat Pelajaran Daerah (PPD), JPN dan kerajaan negeri bagi mencetuskan tahap kesedaran tinggi terhadap kecemerlangan pedidikan di negeri ini,” katanya.

Seterusnya beliau yakin dan komited mengekalkan keunggulan Terengganu dalam peperiksaan awam terutama UPSR yang telah mengungguli peratus tertinggi pencapaian semua A selama 11 tahun berturut-turut manakala peperiksaan lain terus menunjukkan peningkatan setiap tahun.