Halaman

09 August 2012

JPJ tumpu tujuh jalan maut di Terengganu

Oleh: Aida Abd Rahman

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu mengenal pasti tujuh jalan utama yang berisiko berlaku kemalangan sepanjang musim perayaan ini.

Pengarahnya, Tuan Abdul Rahman Emang Anyie, berkata jalan berkenaan ialah Kilometer (Km) 126 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, Km 75 Jalan Jerangau-Jabor dan Km 45 Jalan Kuala Terengganu-Bukit Besi (Kampung Tok Dor).

Selain itu Km 68.9 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, Km 3 Jalan Kuala Berang-Tanggol (Kampung Langgar), Km 48 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu (Kampung Sungai Ikan) dan Km 26.5 Kampung Wakaf Tapai Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu.

“Tujuh jalan maut itu akan dipantau sepanjang Operasi Penguatkuasaan Sempena Aidilfitri 2012 bermula 12 hingga 26 Ogos ini.

“JPJ akan menggandakan tumpuan di lokasi itu berikutan sering mencatat jumlah kemalangan maut yang tinggi setiap tahun, katanya selepas menjalankan pemeriksaan di depoh bas Adik Beradik di Manir di Kuala Terengganu.

Tuan Abdul Rahman berkata, JPJ akan menempatkan anggotanya di lokasi berkenaan bagi memastikan kehadiran mereka disedari orang ramai, tetapi mereka tidak akan membuat sekatan jalan sepanjang ops itu.
Bagaimanapun, beliau berkata orang ramai tetap perlu berhati-hati kerana JPJ tetap akan mengarahkan pemandu berhenti bila diperlukan.

"Kami akan memberi tumpuan khusus kepada tujuh kesalahan seperti melanggar lampu isyarat, memotong di garisan berkembar, memandu di lorong kecemasan, memotong barisan, menggunakan telefon bimbit ketika memandu, tidak memakai tali pinggang keledar dan tidak memakai topi keledar," katanya.

Menurutnya, JPJ juga akan memeriksa semua 117 bas ekspres yang beroperasi di seluruh Terengganu supaya mengikut spesifikasi dibenarkan pihak berkuasa terutama melibatkan brek dan tayar.