Halaman

18 August 2012

Jadual rumah terbuka Aidilfitri Pemimpin Besut



Oleh: Mohammad Ishak 

Pejabat UMNO Bahagian Besut menyelaras majlis sambutan Aidilfitri bagi semua pemimpin termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen Besut bagi memudahkan orang ramai mengatur perjalanan ke rumah pemimpin terbabit.

Setiausaha Eksekutif Umno Bahagian, Salleh Abd Latif berkata, jadual yang diselaraskan itu bertujuan sebagai panduan kepada penduduk daerah Besut dan rakyat negeri ini untuk berhari raya dan beramah mesra dengan pemimpin bahagian berkenaan.

Katanya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih yang juga Ketua UMNO Bahagian, mendahului program apabila beliau dan isteri akan menganjurkan sambutan Aidilfitri pada hari raya kedua (Isnin) yang akan berlan gsung di Dewan Majlis Daerah Besut (MDB),Gong Kemuntong.

Pelbagai jenis makanan dan juadah tradisional disediakan mengikut gerai yang disusun atur dan menyamai sebuah restoran untuk kemudahan pengunjung mengambil makanan sambil bersantai.

Manakala pada hari ketiga (Selasa) majlis secara serentak tetapi di kediaman masing-masing akan diadakan membabitkan tiga ADUN dan Ahli Parlimen. Ahli Parlimen Besut,Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin yang juga Penasihat Agama Perdana Menteri, akan mengadakan sambutan di kediaman beliau di Kampung Alur Lintang.

Manakala tiga ADUN iaitu Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan,Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri,Dr A Rahman Mokhtar akan mengadakan majlis rumah terbuka di kediaman beliau di pekan Kuala Besut.

Sementara itu, ADUN Kota Putera.Muhamad Pehimi Yusof akan mengadakan rumah terbuka di kediamannya di Kampung Batu Tumboh manakala ADUN Hulu Besut,Nawi Mohamad,akan mengadakan majlis serupa yang akan diadakan di Dewan Pejabat Penyelaras DUN Hulu Besut,Kampung Cegar Batang.