Halaman

21 August 2012

Ismail johan pelita raya kali ke-12 berturut-turut

Oleh; Esah Abdullah
GAMBAR OLEH ZULKIPLI PUTRA
Ismail dari Kampung Padang Hangus mengekalkan kehebatan memasang pelita raya di malam tujuh likor apabila sekali lagi dinobatkan pemenang dalam Pertandingan Pelita Raya 2012.

Encik Ismail Sulong, 70, dari Kampung Padang Hangus, sekali lagi diangkat sebagai johan dalam Pertandingan Pelita Raya 2012 kali ke 12 berturut-turut.

Beliau bersama keluarga iaitu isteri dan enam anak mengambil masa lima hari menyiapkan replika rumah tradisional menggunakan 450 pelita yang dihasilkan dari bahan terbuang seperti tin minuman dan tali guni sebagai sumbu.

Pertandingan ini telah diadakan sejak 12 tahun lalu dimulai sebuah kampung (Padang Hangus) dan sejak 2009 kerajaan negeri dan Lembaga Muzium Negeri Terengganu (LMNT) bertindak sebagai penganjur dan menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM20,000.

Kiraan markah dibuat mengikut kampung dan tiga kampung yang bertanding ialah Kampung Padang Hangus, Kampung Pagar Ubi dan Kampung Baru Tepoh yang menawarkan hadiah RM2,000 (pertama) RM1,500 (kedua) dan RM1,000 (ketiga) serta RM300 (saguhati)

Kampung Padang Hangus dimenangi Encik Ismail Sulong (johan), Encik Mat Kasim Mat Isa (kedua) dan Encik Rostam Naman (ketiga) serta 12 orang menerima saguhati.
Kampung Pagar Ubi, dimenangi Encik Ismail Abdullah (johan), Tuan Kamariah Tuan Majid (kedua) dan Encik Abu Musa Mohamed Ali (ketiga) serta 12 orang menerima saguhati.

Kampung Baru Tepoh, panel hakim pertandingan sepakat memutuskan tidak ada pemenang bagi tempat pertama, manakala Encik Wahab Abu Bakar (kedua) dan Encik Mohd Rashidi Che Ayub (ketiga) serta enam orang menerima saguhati.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said telah menyampaikan hadiah kepada pemenang bertempat di perkarangan kediaman Adun Tepoh hari ini (21 Ogos).

Hadir sama, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepoh, YB Haji Muhamad Ramli Noh dan Pengarah LMNT, Haji Mohd Yusof Abdullah .