Halaman

07 August 2012

Hubungan kejiranan erat mampu elak jenayah curi, pecah rumah

Oleh: Aida Abd Rahman
Hubungan kejiranan yang erat memberi kesan efektif bagi mengelak kejadian curi dan pecah rumah yang mungkin berleluasa berikutan penghuni pulang bercuti di kampung masing-masing pada musim perayaan.

Ketua Polis Terengganu, Senior Asisten Komisioner, Dato’ Jamshah Mustapa, berkata hubungan baik dan rapat sesama jiran tetangga boleh mengurangkan risiko kawasan perumahan dan rumah yang tidak berpenghuni menjadi sasaran penjenayah.

“Apabila rumah kita kosong (ditinggalkan), kita beritahu jiran supaya memantau kawasan rumah kita. Malah, melalui Jabatan Perpaduan Negara diwujudkan Skim Kejiranan dan sebagainya yang menjadi salah satu usaha mengelak kejadian pecah rumah.

“Kita dapati di kawasan yang mempunyai kejiranan yang erat, di mana terdapat Skim Kejiranan ini, jenayah tidak berlaku kerana penjenayah suka kepada orang yang tidak mengenali dan tidak ambil kisah kehadiran mereka,” katanya ketika ditemui Teganukita, di pejabat beliau, baru-baru ini.

Dato’ Jamshah berkata, sikap saling mengambil berat mampu mengurangkan risiko kecurian dan pecah rumah berikutan tindakan bertanya , menyelidiki tindak-tanduk serta tujuan orang luar memasuki kawasan kejiranan dapat mematikan langkah penjenayah mencapai hasrat mereka.

Pada masa yang sama, beliau berkata penghuni rumah yang mahu meninggalkan rumah harus meningkatkan ciri keselamatan terutama mengunci rumah dengan sebaik mungkin, mengelak keadaan rumah yang gelap dan persekitaran yang semak berikutan tiga faktor berkenaan boleh mendorong kepada kejadian jenayah berkenaan.

“Tiga faktor itu menjadi pendorong kepada kegiatan curi dan pecah rumah kerana penjenayah boleh menyorok sebelum menceroboh kediaman mangsa.

“Modus operandi penjenayah lazimnya, pertama dia akan pastikan sebelum melakukan jenayah, pertama, mereka tidak akan ditangkap; yang kedua mereka tidak dicam, dan faktor ketiga, penjenayah dapat apa yang dikehendaki,” katanya.