Halaman

05 August 2012

Hanya Happy Boom, Pop-pop sahaja dibenarkan - Dato' Jamshah

Oleh: Aida Abd Rahman

Jika ingin bermain mercun anda dinasihatkan hanya membeli dan bermain dua jenis mercun yang dibenarkan sahaja, `Happy Boom’ dan `Pop-pop’ kerana kedua-duanya tidak berbahaya dan boleh mendatangkan kececeraan kepada pengguna, demikian nasihat Ketua Polis Terengganu, Senior Asisten Komisioner Dato’ Jamshah Mustapa.

“Penjualan dua jenis mercun yang dibenarkan itu juga perlu mendapatkan permit polis. Jika gagal berbuat demikian, penjual boleh ditahan dan disabitkan kesalahan.

“Jika didapati mengedar dan menjual mercun selain daripada dua yang dibenarkan itu, peniaga boleh berdepan dengan hukuman mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 (akta 207), jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda tidak lebih RM10,000,” katanya ketika ditemui Teganukita di pejabat beliau, baru-baru ini.

Sehingga kini, polis menahan dua peniaga mercun di seluruh Terengganu dan kedua-dua mereka sudah didakwa dengan masing-masing melibatkan rampasan RM200 dan RM17,000.

Sementara itu, tahun lalu, 29 peniaga ditahan mengikut syeksen itu dengan 24 daripada mereka sudah didakwa di mahkamah.

“Polis banyak menerima laporan dan aduan mengenai kesalahan itu, bagaimanapun apabila kita serbu dan mahu menahan mereka melarikan diri. Jadi tiada bahan bukti untuk mensabitkan kesalahan mereka itu.

“Pada masa yang sama, kita minta orang ramai untuk terus memberikan maklumat bagi membanteras kegiatan tidak bermoral ini,” katanya.

Katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung penjualan mercun boleh salurkannya kepada Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu melalui nombor telefon 09-6354722 atau berhubung terus dengan cawangan D4 Jabatan Siasatan Jenayah IPK Terengganu melalui nombor telefon 09-6354810.