Halaman

26 August 2012

DILEMA PAS DAN DAP

Oleh: Ruslan Abdul Rahman- Pengarang Teganukita.

Amat serba salah bagi Pas dan DAP. Bagi Pas untuk memastikan hubungan mereka dengan DAP terjalin baik dalam pakatan pembangkang, mereka harus melupakan soal hudud dan negara Islam. Justeru sokongan bukan Islam dalam DAP amat tinggi kepada pakatan mereka jika Pas melupakan dua perkara asas perjuangan Pas sebelum ini.

Oleh kerana mahu sokongan bukan Islamlah, Presiden Pas Dato’ Seri Haji Hadi Awang sanggup melupakan perjuangannya selama ini untuk membentuk negara Islam. Untuk menghalalkan tindakannya itu, Haji Hadi mengatakan tuntutan menegakkan negara Islam tidak ada pun di dalam al-Quran.

Berikutan itu sokongan orang bukan Islam, khususnya dalam pakatan pembangkang menjadi bertambah bila Pas menggugurkan hasrat itu. Maka tersenyum lebarlah pimpinan DAP kerana rakan pakatan mereka sanggup menggugurkan asas perjuangan, iaitu untuk menegakkan negara Islam, sekaligus perundangan Islam.

Sedangkan selama ini, pemimpin Pas termasuk Haji Hadi sendiri mengkafirkan orang Umno atas asas kononnya menolak negara dan perundangan Islam yang menurutnya ditetapkan di dalam al-Quran.

Sesiapa yang menolak hukum Allah yang telah ditetapkan, maka kufurlah ia, demikian hujah pemimpin Pas suatu masa dulu dengan memetik beberapa ayat al-Quran berkaitan.
Tita-tiba tanpa disangka-sangka Pas dan Haji Hadi sanggup menggugurkan perjuangan asasnya itu demi menjaga hubungan dengan DAP.

Justeru itu, saham dan sokongan umat Islam, termasuk ahli Pas sendiri kepada parti itu, hari demi hari semakin menurun dan merosot.

Indeks menunjukkan Pas sudah tidak diyakini lagi, bahkan terdapat segelintir dari pimpinan mereka menentang tindakan menolak perjuangan bagi mewujudkan negara Islam itu.

Menyedari keadaan ini, pemimpin Pas sedar kalau keadaan ini berterusan boleh menjejaskan sokongan orang Islam terhadap parti itu.

Betul, sokongan bukan Islam meningkatkan kepada Pas dan pakatan mereka bila menggugurkan perjuangan negara Islam dan ditukarkan kepada negara kebajikan sahaja, tetapi salahnya sokongan umat Islam kepada parti itu kian merosot.

Akhirnya, Pas terpaksa membuka mulut semula, kononnya parti itu tetap memperjuangkan perundangan Islam, khususnya hukum hudud, dengan menuduh Umno menolak hudud.

Harapannya dengan berbuat demikian, sokongan kepada Pas oleh umat Islam dapat dikembalikan.

Tetapi pemimpin DAP menentang habis-habiskan bila Pas bersuara semula tentang hudud dan negara Islam yang sememangnya tiada dijanjikan dalam Buku Jingga, iaitu suatu perjanjian yang ditandatangani bersama, Dato’ Seri Anwar Ibrahim (PKR), Lim Kit Siang (DAP) dan Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang (Pas).

Jika lagu ini dimainkan kembali oleh Pas, sokongan kaum Cina dan lain lain bukan Islam dalam DAP itu akan merosot, sebab itu DAP dan pakatan pembangkang terpaksa menentang habis-habisan.

Karpal Singh (DAP) yang pernah mengatakan langkah mayatnya dulu jika nak laksanakan hudud mengulangi kata kata bahawa undang undang Islam itu mustahil dilaksanakan di Malaysia, malah menempelak Pas dengan mengatakan hudud tidak mampu basmi jenayah.

Tetapi nampaknya Haji Hadi amat takut kepada Karpal dengan hanya berkata semalam dalam satu sidang akhbar bahawa Karpal hanya menentang dan tidak setuju hudud dan negara Islam,” itu hak dia, itulah demokrasi dan Pas menyokong demokrasi”.

Alahai lembutnya kalau dengan DAP, kalau sesama Islam (Umno) bukan main keras lagi, sehingga sanggup kafirkan orang Umno.

Dulu Haji Hadi menolak sebarang idealogi, kerana katanya yang diterimanya hanya ideologi Islam (lihat tulisan beliau dalam buku-buku beliau sebelum ini), tetapi sekarang dengan mudahnya menerima ideologi “demokrasi”.

Bila Pas bersuara lagi tentang hudud, Dato’ Seri Anwar mengingatkan hudud dan negara Islam tiada dalam agenda pembangkang. Ini semua kerana bimbang sokongan bukan Islam kepada pakatan akan terjejas, berikutan tindakan Pas cuba menghidupkan kembali hudud dan negara Islam.

Kesimpulannya, asas pakatan pembangkang menjadi tidak menentu, belum apa apa lagi mereka sudah bercanggah sesama sendiri, kerana kepentingan yang berlainan.

Pas, jika tidak menjaja perjuangan hudud dan negara Islam akan ditolak oleh pengikut dan penyokongnya, tetapi untung bagi DAP bagi melipatgandakan sokongan ahli dan penyokongnya yang terdiri dari bukan Islam itu.

Demikian sukarnya kedudukan pakatan PKR, DAP dan Pas dalam pakatan. Bagaimana mungkin mereka boleh bersepakat kerana yang dua (PKR) menolak dasar Islam untuk sokongan dan kekuatan dan pada masa yang sama satu pihak lagi (Pas) memerlukan imej hudud dan negara Islam untuk juga meraih sokongan (orang Islam).