Halaman

05 August 2012

Anak Terengganu di perantauan berbuka puasa bersama MB 11 Ogos



Oleh: Aida Abd Rahman
Sebagaimana tradisi menjelangnya Ramadan, Kerajaan Terengganu dengan kerjasama Persatuan Anak Terengganu Wilayah Persekutuan dan Selangor (Pesat) akan menganjurkan Majlis Berbuka Puasa Bersama Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

Pada tahun ini, program yang berkesinambungan sejak lapan tahun lalu bakal diadakan di Dewan Tun Razak, Tingkat Empat, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, pada 11 Ogos (Sabtu) ini.

Majlis akan dimulai dengan ucapan Presiden Pesat, Dato’ Ramlan Ibrahim diikuti ucapan Menteri Besar dan majlis tahlil yang dipimpin Imam Besar Negeri Terengganu, Ustaz Aizi Saidi Abdul Aziz.

Sejurus majlis berbuka puasa, tetamu dijemput menunaikan solat Maghrib berjemaah, diikuti solat Isyak dan bertarawih.

Majlis diakhiri dengan jamuan moreh untuk jemaah sebaik selesai solat tarawih.

Program dijangka bakal menghimpunkan lebih 2,000 anak Terengganu yang berada di perantauan dari pelbagai latar belakang, profesion termasuk pelajar yang menuntut di universiti sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.