Halaman

31 August 2012

6,000 penduduk sekitar Marang meriahkan Rumah Terbuka Adun Alor Limbat

Oleh: Aida Abd Rahman
Lebih 6,000 penduduk sekitar Marang khususnya dari Dewan Undangan Negeri Alor Limbat membanjiri Rumah Terbuka Aidilfitri Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) berkenaan, Haji Alias Abdullah di Kampung Alor Limbat, hari ini.

Haji Alias dan isteri, Puan Noriha Mohamad serta seisi keluarga yang mengenakan pakaian kuning sedondon begitu mesra melayan tetamu yang terdiri daripada pelbagai lapisan usia dan latar belakang yang tidak putus-putus berkunjung ke majlis itu bermula jam 10 pagi lagi.

Majlis yang berakhir kira-kira jam 4 petang itu turut dimeriahkan dengan kehadiran pemimpin utama negeri, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad said dan isteri, To’ Puan Seri Norliza Mahmud.

Penduduk tempatan dan tetamu kenamaan dijamukan dengan pelbagai juadah menyelerakan termasuk nasi minyak, ketupat, rendang dan kuih muih selain dihiburkan dengan persembahan pentas di majlis rumah terbuka berkenaan.

Menteri Besar ketika memberi ucapan ringkas di majlis itu, berharap acara seumpama itu dapat merapatkan ukhwah yang sedia terjalin, selain menjernihkan sebarang kekeruhan yang ada sebelum ini dengan saling beramah-mesra dan bermaaf-maafan.

Beliau turut mengajak semua penduduk menilai kembali senario semasa hari ini yang memberi peluang kepada seluruh penduduk mengecap nikmati pembangunan dan kestabilan ekonomi, lalu menghargainya dan meneruskan kesinambungan pembangunan itu dengan menyokong kerajaan hari ini.

“Saya berharap penduduk kawasan ini terus memberi sokongan kepada pemimpin dan kerajaan yang sudah terbukti berjaya memainkan peranan dalam memberi nikmat pembangunan kepada kita semua.

“OIeh itu, pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 nanti, saya meminta penduduk di kawasan (Alor Limbat) ini untuk terus menyokong kerajaan yang ada dan mengekalkan parti Barisan Nasional bagi melihat lebih banyak kemajuan boleh dilaksanakan oleh kerajaan di sini,” katanya.

Dato’ Seri Haji Ahmad sempat meluangkan masa kira-kira sejam di majlis itu, sebaik selesai menghadiri dan melancarkan Sambutan Hari Kebangsaan Ke-55 2012, peringkat Negeri Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.