Halaman

31 July 2012

YT minta pelajar jangan membazir

Oleh: Suriati Ali

Yayasan Terengganu (YT) mengingatkan pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) supaya memanfaatkan pemberian wang bantuan pendidikan dengan membeli perkakas sekolah berfaedah dan bukannya kelengkapan yang dianggap membazir.

Pengarah YT, Encik Zakaria Yusof, berkata pihaknya cukup kecewa sekiranya ada di antara pelajar membelanjakan wang yang diperoleh itu ke arah perkara membazir seperti membeli telefon bimbit, rokok dan kad tambah nilai.

Katanya, setiap pelajar wajar mengutamakan keperluan pembelajaran supaya mampu memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan yang bakal ditempoh kelak.

“Jika mereka membazir wang yang diberi ini seolah-olah mengkhianati hasrat dan tujuan `si pemberi’ iaitu kerajaan Terengganu yang sememangnya sentiasa ikhlas membantu pelajar supaya dapat mencapai cita-cita yang diimpikan.

“Apa yang dibantu ini, bukan saja untuk kepentingan Terengganu malah cukup penting untuk masa depan pelajar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Pendidikan Yayasan Terengganu kepada Pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2012 di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalami.

Majlis yang dirasmikan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said itu turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pendidikan Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman dan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu, Encik Zakaria Hussin.

Seramai 2,150 pelajar Tingkatan Enam (Atas) pelbagai sekolah seluruh Terengganu hadir menerima sumbangan tersebut yang disampaikan Dato’ Seri Haji Ahmad.

Berdasarkan jumlah pelajar itu, kerajaan negeri melalui YT membelanjakan lebih RM2.1 juta bertujuan mahu melihat pencapaian cemerlang yang diperoleh setiap pelajar dapat peperiksaan utama itu nanti.

Encik Yusof turut memberitahu pihaknya bertanggungawab terhadap pembangunan dan kemajuan sektor pendidikan negeri akan meneruskan usaha-usaha ke arah memaju, meningkat dan melestarikan bidang pendidikan melalui aktiviti dan program pelengkap .

“Program-program seperti Biasiswa Kecil Yayasan Terengganu (BKYT), Hadiah Kecemerlangan Pelajar dalam peperiksaan awam, bantuan-bantuan kebajikan, Biasiswa atau Pinjaman Sultan Ismail Nasiruddian Shah dan Bantuan Persediaan Kemasukan ke IPTA dan IPTS, merupakan sebahagian program dan aktiviti teras YT.